LONDON: Seorang wanita yang menyelidiki salasilah keturunannya terkejut
apabila mendapati dia mempunyai pertalian dengan seorang pembunuh yang
masih tergantung.
Mary Halliwell begitu marah apabila mendapati rangka anggota keluarganya
itu masih digantung dalam kabinet untuk pameran di Universiti Bristol
sejak 189 tahun lalu.
Selepas berusaha, dia akhirnya memperoleh hak untuk menjadi pemilik sah
rangka itu dan berikrar untuk mengebumikan rangka remaja yang dihukum
gantung pada 1821 kerana membunuh kekasihnya, dengan sempurna.
Mary, 67, berkata: “Baru saya rasa tenang.”
Remaja itu, John Horwood adalah anak lelaki kepada abang keluarga moyang Mary.
Horwood dihukum gantung selepas melontar kekasihnya Eliza Balsom dengan
batu apabila mendapat tahu kekasihnya itu mempunyai teman lelaki baru.
Eliza mati akibat kecederaan di kepala selepas dirawat pakar bedah.
Horwood yang bekerja sebagai pelombong digantung di New Bristol Gaol tiga hari selepas menyambut hari lahirnya yang ke 18.
Dr Richard Smith, pakar yang merawat Eliza enggan menyerahkan mayat Horwood kepada keluarganya.
Dia sebaliknya menyiat daging Horwood dari rangkanya secara terbuka
sambil melakukan pembedahan pada mayatnya di depan 80 pelatih di bilik
mayat Hospital Diraja Bristol.
Doktor itu seterusnya menyimpan rangka Horwood di rumahnya dan turut
menggunakan kulit Horwood untuk menjilid buku mengenai kes remaja itu
selepas mengawetnya.
Mary dari Leigh, Lancester yang mengesan mayat itu di Universiti Bristol
berkata: “Saya kesal apabila mendapat tahu seorang manusia boleh
melakukan perbuatan tidak bertamadun terhadap manusia lain.”
