KUALA LUMPUR: Senjata
makan tuan. Itu gambaran balasan segera diterima seorang lelaki apabila
parang digunakannya ketika cuba menyamun dan merogol seorang wanita
dirampas mangsa lalu dilibas mengenai kemaluan penjenayah terbabit.
Berikutan kejadian itu
yang berlaku di kawasan rumah kedai di Jalan Pandan Indah, di sini, jam 4
petang kelmarin, suspek terbabit yang berusia 20-an mengalami
kecederaan serius pada alat kelaminnya.
Sumber polis berkata,
sebelum kejadian, mangsa yang berusia 20 tahun dalam perjalanan ke
sebuah kedai runcit berhampiran rumahnya.
Menurutnya, mangsa
dihampiri suspek yang mengacukan parang ke lehernya sebelum mangsa
diheret ke kawasan gelap berdekatan sebuah stor di tingkat dua bangunan
rumah kedai itu.
“Suspek menolak mangsa
hingga jatuh dan meminta mangsa menyerahkan wang serta barangan
berharga. Apabila mangsa enggan mengikut arahannya, suspek menyeluk
kocek mangsa dan merampas wang RM100 serta satu telefon bimbit,”
katanya, semalam.
