29/09/2011 7:24pm
KUALA LUMPUR 29 Sept. - Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) baharu atau KLIA 2, akan digunakan bagi tujuan komersial, kata Pengurus Besar Kanan (perkhidmatan komersial) Malaysia Airports Holdings Bhd, Faizah Khairuddin.
Beliau berkata, rancangan untuk menambah lebih nilai komersial kepada LCCT itu telah ditentukan, malah semasa peringkat perancangannya lagi.
"Kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan 250,000 meter persegi di KLIA 2 diperuntuk bagi tujuan komersial.
"Daripada 20 peratus itu, lima peratus adalah bagi pejabat dan kemudahan penyimpanan. Ruang selebihnya, seluas kira-kira 38,000 kaki persegi, akan menampilkan kedai perniagaan runcit serta makanan dan minuman.
"Apabila KLIA 2 siap dan memulakan operasinya pada akhir 2012 seperti yang dirancangkan, lebih daripada 50 peratus hasil pendapatan terminal itu akan disumbangkan oleh kegiatan komersial,” katanya selepas melancarkan iklan televisyen pertama Malaysia Airport dan aplikasi iPhone Asia iButterfly pertama di Malaysia hari ini. - Bernama