September 29, 2011

Status negara maju: Iktiraf wanita dalam bidang sains, teknologi

29/09/2011 6:23pm

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Penglibatan wanita dalam bidang sains, teknologi dan inovasi perlu diberi pengiktirafan sewajarnya jika mahu memastikan sesebuah negara itu benar-benar mencapai status negara maju, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Beliau berkata, ramai wanita yang berkelayakan dan berpengalaman dalam bidang terbabit telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan sama ada dalam sektor swasta mahupun kerajaan.
"Mana-mana jua negara jika mahu menentukan negara itu menjadi sebuah negara maju, kita tidak ada pilihan lain, kita mesti memberi ruang dan peluang kepada wanita dalam bidang sains dan teknologi.
"Mana-mana negara yang tidak mengambil kira bakat dan potensi, pengetahuan, ilmu dan kepakaran wanita dalam bidang sains dan teknologi akan ketinggalan di dalam pembangunan negara itu,” katanya kepada pemberita pada Simposium Antarabangsa Mengenai Wanita dalam bidang Sains dan Kejuruteraan 2011 di sini hari ini. - Bernama