December 13, 2011

Lebih 30 Orang Kanak-Kanak Terperangkap Banjir Kilat Di Kuala Lumpur


KUALA LUMPUR -  Lebih 30 orang kanak-kanak terperangkap dalam sebuah tadika akibat banjir yang berlaku di sekitar TM Training Centre dekat Jalan Semarak petang ini.
Jurucakap Bomba Kuala Lumpur berkata pihaknya menghantar dua bot untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit secara berperingkat.

“Sekarang ini kami dalam proses menyelamatkan mereka ke tempat yang lebih selamat sedikit demi sedikit,” katanya ketika dihubungi Bernama
Sementara itu keadaan lalu lintas di ibu negara lumpuh hari ini berikutan banjir kilat di Jalan Tun Razak semasa waktu puncak apabila warga kerja pulang, berikutan hujan lebat.
Kawasan sekitar Perpustakaan Negara dilaporkan ditenggelami air dan dikatakan merebak sehingga ibu pejabat agensi berita Bernama yang terletak berhampiran.

Sebelum ini, kawasan itu bukan tempat yang kerap berlaku banjir.
Dua minggu lalu Kajang juga dilanda banjir kilat yang terburuk sejak 1971.