Polis membenarkan penyokong Datuk Seri
Anwar Ibrahim mengadakan perhimpunan Isnin ini, tetapi ia hendaklah
diadakan di lokasi lain dan bukan di hadapan Kompleks Mahkamah, di Jalan
Duta demi menjaga ketenteraman awam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar
berkata pihak penganjur perlu bertemu dengan Ketua Polis Kuala Lumpur
Datuk Mohmad Salleh bagi membincangkan lokasi yang bersesuaian untuk
mengadakan perhimpunan itu.
“Kami boleh benarkan perhimpunan itu
dijalankan tetapi bukan di mahkamah. Mereka boleh berhimpun di tempat
yang tidak mengganggu ketenteraman awam dan kelancaran trafik.
“Walaupun undang-undang Akta Perhimpunan
Aman 2011 belum digazetkan, kami sedia membenarkan penganjur meneruskan
perhimpunan itu dengan syarat mereka membatalkan perhimpunan di hadapan
mahkamah itu bagi menjaga kepentingan umum,” katanya pada sidang media
khas di Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata jika nasihat untuk
membatalkan perhimpunan itu tidak diendahkan,pihaknya bersedia untuk
mengawal keadaan serta mengambil tindakan bersesuaian supaya tidak
terjadi kekacauan dan juga tekanan kepada mahkamah.
![]()