Pemuda PAS Bidas Azmin Ali
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berasa kesal dengan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali kerana mendesak PAS mengambil tindakan keatas Bekas Pesuruhjaya parti itu di Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali.Naib Ketuanya, Dr. Raja Ahmad Al-Hiss berkata, Azmin tidak sepatutnya membuat desakan atas kenyataan Hasan yang cuma mempertikai rancangan perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901 baru-baru ini.
Malah, dakwanya, kenyataan itu membuat DPPP berasa kurang selesa dengan tindakan Azmin yang dilihat seolah-olah tidak menghormati PAS.
“Kami jelaskan bahawa Hasan adalah masih sebagai Ahli PAS dan Azmin perlu menghormati keadaan tersebut.
“Kenyataan Azmin sepatutnya disalurkan di dalam Mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat dan bukannya melalui media pro-Umno yang ada,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Raja berkata, kenyataan Azmin tersebut akan memburukkan lagi suasana dan persefahaman di dalam pakatan pembangkang.
Menurutnya, PAS tidak pernah membuat kenyataan seperti itu semasa dua orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR keluar parti di Perak sebelum ini.
Justeru, katanya, DPPP berharap Majlis Pakat Rakyat memberi peringatan keras terhadap kenyataan Azmin.
“Suasana ini sepatutnya tidak berlaku kerana setiap parti di dalam pakatan pembangkang perlu memelihara ahli parti masing-masing dan bukannya membuat kenyataan seumpama itu,” tegasnya.
![]()