Seorang remaja cantik terbakar hampir 30 peratus tubuh badannya selepas dibakar oleh seorang lelaki akibat dia menolak pelawaan cinta dari lelaki tersebut.
Zhou Yan, 17, yang dibakar di dalam
bilik tidurnya oleh Tao Rukun pada September tahun lalu menanggung
derita akibat kesan terbakar itu terutamanya di sekitar kepala, leher
dan dada.
Yan terpaksa menerima rawatan rapi
selama beberapa bulan di hospital kerana berada dalam keadaan kritikal
tetapi dibenarkan pulang setelah keadaan dirinya kembali stabil.
Menurut ibu Yan, Li Chong, perkara yang
menyebabkan anaknya menerima derita itu selepas Rukun mempelawa anak
gadisnya itu menjadi teman wanitanya tetapi ditolak mentah-mentah kerana
mereka berdua masih belajar selain Yan langsung tidak mempunyai
perasaan kepada Rukun.
Selepas mendengar cerita dari Yan, Chong
bertindak memindahkan anaknya ke sekolah menengah rendah yang lain
untuk mengelak dari bertemu dengan Rukun tetapi usaha itu ternyata tidak
berhasil.
Selain itu, disebabkan kejadian itu
berlaku, hubungan yang baik terjalin antara keluarga Yan dan Rukun juga
turut terjejas di mana keluarga Rukun enggan bertanggungjawab di atas
perlakuan anak lelaki mereka.
“Ibu bapa Rukun sangat baik dan sentiasa
mengikuti perkembangan Yan sewaktu dia berada dalam hospital tetapi itu
semua berubah apabila ibu Rukun memaksa saya menandatangan satu borang
rayuan ikat jamin anaknya supaya tidak ditahan dan dibicarakan,” kata
Chong yang dipetik dari laporan berita Daily Chilli.
Selepas permintaan itu ditolak oleh
Chong, ibu bapa Rukun terus enggan bertanggungjawab dan tidak membantu
membayar bil-bil rawatan selanjutnya.
Kesan daripada itu, Yan terpaksa dibawa
pulang ke rumah bulan Disember lalu apabila keluarganya tidak dapat
menyelesaikan tunggakan bayaran bil rawatan gadis itu.
Yan, gadis yang dulunya ceria tetapi
berubah menjadi seorang yang pendiam dan suka mengurungkan diri kecewa
setelah janji kosong dari ibu dan bapa Rukun untuk membiayai pembedahan
plastik bagi membetulkan rupanya tidak ditunaikan.
Tetapi, nasib keluarga malang itu terbela apabila kisah gadis malang itu mendapat liputan meluas di negara tersebut setelah Chong menyiarkan kisah mereka ke dalam sebuah akhbar tempatan, Sina Weibo.
Ekoran dari itu, seorang peguam, Li
Zhixian ditugaskan untuk membantu membela nasib keluarga malang itu
selain mendapatkan tuntutan yang sepatutnya mereka terima.
Menurut peguam yang mewakili Yan, Rukun
berkemungkinan menghadapi hukuman penjara sekurang-kurangnya 10 tahun
atau pun hukuman mati kerana melakukan jenayah bunuh dengan niat
sengaja.
Tao Rukun telah ditangkap oleh polis
Hefei pada 18 September, sehari selepas serangan itu, dan ditahan di
Pusat Tahanan Pertama di Hefei.
Bapa Rukun kemudiannya menghantar surat
memohon maaf kepada akhbar yang sama dan berkata beliau akan melakukan
segala perkara yang boleh bagi membantu Yan dan akan menerima
penghakiman undang-undang ke atas anaknya.