Panahan asmara seorang
lelaki Pakistan ke atas kekasihnya yang merupakan seorang pelajar
tingkatan lima menyebabkan gadis itu bertindak membelakangkan keluarga
apabila dia disyaki melarikan diri selepas cinta mereka mendapat
tentangan.
Nurul Zakiah Hidayah Azman, 17, dikatakan hilang pada Hari Kekasih 14 Februari lalu selepas tiga minggu berkenalan dan bercinta dengan lelaki dikenali sebagai Samer Khan, 20-an.
Samer Khan digambarkan sebagai lelaki
yang kacak tetapi keluarga Nurul Zakiah hanya mendengar cerita mengenai
Samer daripada gadis itu dan tidak pernah menemuinya.
Pertemuan yang tidak dirancang hingga
melahirkan bibit-bibit cinta itu berlaku ketika Nurul Zakiah bekerja
secara sambilan di sebuah pasar raya manakala Samer pula bekerja di
sebuah kedai menjual barang-barang makanan di Pekan Banting di sini.
Kedua-dua premis itu terletak berdekatan.
Nurul Zakiah yang bakal menduduki
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini sebelum
kejadian tinggal bersama ibu saudaranya, Norlaila Saad, 43, sejak 12
tahun lalu selepas kematian ibunya.
Mengimbau semula kejadian itu, Norlaila
memberitahu, dia menyedari kehilangan pelajar Sekolah Menengah
Kebangsaan Bandar Banting dekat sini itu selepas anak saudaranya tidak
pulang ke rumahnya di Jalan Masjid, Kanchong Darat setelah tamat waktu
belajar.