MASHAVA, Zimbabwe – Susan Dhliwayo
tergamam ketika dia memberhentikan keretanya kerana ikhlas mahu
menumpangkan sekumpulan pengembara lelaki baru-baru ini tetapi mereka
menolak pelawaannya.
Puncanya adalah kerana lelaki itu bimbang akan dirogol.
Zimbabwe kini digemparkan dengan
laporan sensasi bahawa terdapat geng wanita cantik merogol beberapa
pengembara lelaki dan meletakkan sperma mereka di dalam kondom bagi
tujuan ilmu hitam.
“Sekarang ini, lelaki takut kepada wanita,” kata Dhliwayo yang berusia 19 tahun.
Menurutnya, para pengembara tidak akan menaiki kereta yang dipandu wanita kerana mereka tidak mempercayai lagi kaum Hawa itu.
Media Zimbabwe sebelum ini melaporkan
beberapa lelaki yang ditemui di lebuh raya telah diberi ubat tidur,
diugut dengan menggunakan pistol atau pisau dan diberikan ubat
perangsang seks sebelum mereka dirogol berulang kali dan
ditinggalkan di
tepi jalan.
Berita tentang kumpulan perogol itu yang
digelar ‘pemburu sperma’, pertama kali disiarkan di dada akhbar
tempatan pada tahun 2009.
Namun, sehingga kini, polis hanya
berjaya menangkap tiga wanita yang ditahan bersama satu beg plastik
berisi 31 kondom terpakai. Mereka didakwa kerana memperkosa 17 lelaki.
Tiga orang yang ditangkap itu terdiri daripada Sophie Nhokwara, 26 dan adiknya, Netsai, 24, serta Rosemary Chakwizira, 28.
“Kami tidak tahu jumlah sebenar kes rogol seperti ini,” kata jurucakap polis, Wayne Bvudzijena.
“Kebanyakan kes ini berlaku apabila
mangsa menumpang kenderaan persendirian. Kami menggalakkan orang ramai
agar menggunakan kenderaan awam.”
Menurutnya, tujuan sperma itu diambil si
mangsa masih tidak jelas tetapi ia dipercayai digunakan dalam amalan
sihir yang dikenali sebagai ‘juju’ atau upacara membawa tuah termasuk
bagi tujuaan mendatangkan kekayaan, melariskan perniagaan dan mengelak
penjenayah daripada dikesan.
“Isu ini sukar untuk difahami,” kata pakar sosiologi Universiti Zimbabwe, Watch Ruparanganda.
“Apa yang jelas sperma ini digunakan dalam upacara ilmu hitam,” tambahnya.
Ruparanganda berkata, beliau hairan
apabila mendapati sperma menjadi barangan komoditi ketika dia sedang
melakukan kajian sosial di Harare tujuh tahun lalu.
Dia diberitahu oleh remaja jalanan bahawa ahli-ahli perniagaan akan membawa mereka ke hotel bagi tujuan seks.
Seorang pemuda berusia 24 tahun, Tende Marahu turut mengesahkan perkara tersebut.
Menurutnya, beberapa lelaki dan wanita
datang untuk mengambil lelaki di kawasan kejiranannya bagi mendapatkan
sperma yang dikumpulkan dalam kondom selepas mereka melakukan hubungan
seks.
“Perkara ini telah lama berlaku,” katanya.
Amalan songsang tersebut turut dikecam Persatuan Pengamal Perubatan Tradisonal Zimbabwe.
“Kami percaya amalan ini adalah sihir dan kami mengecamnya,” kata jurucakap persatuan berkenaan, George Kandiyero.
Menurutnya, pemburu sperma tidak akan
mengambil sperma kekasih atau suami mereka untuk upacara juju kerana ia
boleh memudaratkan lelaki itu.