|
|
JUARA dunia dua kali, Sebastian Vet- tel optimis Red Bull mampu menyaingi kepantasan pasukan McLaren menjelang perlumbaan kereta Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Sepang petang esok.
Pemandu Jerman itu menamatkan sesi latihan bebas kedua petang semalam dengan catatan kesepuluh terpantas dengan ketinggalan 1.230 saat kepada pemandu McLaren, Lewis Hamilton yang merekodkan masa 1 minit 38.172s.
Vettel, 25, yang bergelut dengan isu tayar pada sesi sebelah petang, kurang berpuas hati dengan prestasi jentera- nya semalam, namun percaya masih mampu menyaingi kepantasan McLaren pada hari perlumbaan sebenar esok.
“Saya tidak pasti sama ada mampu merebut petak hadapan daripada dua pemandu McLaren esok (sesi kelayakan masa hari ini), sukar untuk dikatakan,” jelas Vettel selepas sesi latihan petang semalam.
“Prestasi McLaren semakin bagus dari sehari ke sehari, lihat sahaja sesi latihan sebelah pagi dan petang tadi.
“Saya masih belum nampak banyak perubahan tetapi saya rasa kami sema- kin menghampiri kepantasan mereka, jadi kita lihat sahaja apa yang kami mampu lakukan nanti,” ujarnya lagi.
Vettel meraih tempat kedua pada GP Australia minggu lepas dan memberi- tahu, dia masih perlu berusaha keras bagi memastikan jenteranya, RB7 bersedia pada sesi kelayakan masa hari ini.
“Sejujurnya, saya masih belum berpuas hati dengan prestasi hari ini tetapi secara keseluruhannya, sesi latihan hari ini berjalan dengan baik bagi kami,” kata Vettel.
“Masalah masih lagi timbul dan sekiranya kami gagal menyelesaikannya dalam masa tiga jam, sudah tentu saya akan terus berasa tidak gembira.
“Isu tayar ini hanya terjadi sekali saja tadi dan kami juga tidak menggunakan semua tayar yang ada. Jadi sebab itu saya kurang gembira,” tambahnya lagi.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Mark Webber beraksi lebih baik apabila mencatat masa ketujuh terpantas.
“Hari ini semuanya berjalan dengan baik bagi saya, banyak lagi yang perlu dilakukan selepas ini.
“Sesi latihan ini sangat produktif bagi kami. Semua perkara yang kami mahu lakukan berhasil hari ini, jadi sudah tentu ia sesuatu yang positif bagi pasukan kami,” jelas Webber.