Keguguran Bulu Mata Apa Tandanya?
1.
Bulu mata (eyelashes) adalah sebahagian dari bulu yang tumbuh pada
badan seseorang. Ia berfungsi sebagai struktur yang menghalang habuk
daripada memasuki mata di samping menambahkan kecantikan seseorang.
Seperti rambut, bulu mata akan gugur setiap hari. Ia adalah perkara yang
normal. Tidak ada yang pelik tentang itu. Ia juga bukan suatu penyakit.
Bulu mata yang gugur akan tumbuh semula. Keadaan ini dinamakan madarosis.
2. Namun begitu jika keguguran bulu mata berkaitan dengan penyakit
kronik yang lain, ia adalah sesuatu yang serius kerana bulu mata yang
gugur mungkin tidak akan tumbuh semula. Dalam keadaan itu, keguguran
bulu mata amat ketara dengan jumlah yang amat banyak.
3.
Madarosis berlaku setiap hari tanpa kita sedari. Apabila menggosok
kelopak mata kita dengan kasar, bulu mata boleh gugur. Begitu juga jika
seorang wanita itu cuba menanggalkan mekapnya terutama maskara. Ramai
yang tidak menyedari bahawa maskara yang mereka pakai pada bulu mata
menyebabkan bulu mata menjadi berat dan mudah gugur.
4.
Jangkitan kuman pada bulu mata juga menyebabkan bulu mata yang terlibat
akan gugur. “Stye” atau dalam bahasa melayunya tembil, adalah jangkitan
kuman pada kelenjar yang membekalkan minyak ke bulu mata. Apabila liang
bulu mata ini tersumbat, maka kuman akan menjangkiti kelenjar ini,
menyebabkan bulu mata rosak dan gugur. Jika ia menjadi teruk dan
menjangkiti kelopak mata, ia akan menyebabkan radang.
5. Radang
pada kelopak mata juga disebut sebagai “blepharitis”. Ia juga
menyebabkan keguguran bulu mata. Jika keguguran bulu mata disertai
dengan keguguran bulu roma atau rambut pada bahagian badan yang lain,
kemungkinan pesakit mengalami penyakit Alopecia areata, iaitu penyakit
auto immune di mana rawatannya agak sukar. Ia memerlukan rawatan dari
doktor pakar immunologist.