Meskipun
sudah melewati usia 40-an, model juga pelakon popular Nasha Aziz berkata
hidupnya yang sentiasa dikelilingi dengan cinta, berfikiran positif,
ceria serta menjalani gaya hidup sihat menjadikan beliau sehingga kini
kekal cantik dan masih mempunyai bentuk badannya, macam anak dara sunti.
“Tiada
rahsia apa-apa. Simple saja, cinta. Cinta menjadikan saya nampak muda.
Cinta melindungi saya daripada rasa tua. Cinta buat saya nampak sihat
dan ceria. Cinta, cinta dan cinta. Setiap hari saya menerima cinta dan
memberi cinta”, ujar Nasha Aziz kepada MD tatkala memintanya berkongsi
apakah rahsia awet mudanya.
Pemilik nama
sebenar Noraishah Abd Aziz ni ditemui di pelancaran produk GNC Live
Well sempena memperkenalkan set minuman kolagen, ‘LAC Taut’, bertempat
di hotel Double Tree, semalam.
Pada majlis
tersebut Nasha diundang khas bersama dua lagi selebriti iaitu
pelakon-model Alan Yun dan pereka fesyen terkenal, Melinda Looi bagi
menceritakan pengalaman mereka sebagai pengguna ‘LAC Taut’.
“Di usia 41
tahun, saya sentiasa pastikan saya tetap cantik. Jadi saya dah cuba
banyak produk kecantikan sejak beberapa tahun sebelum ni.Sekarang saya
cuba pula Taut. Baru lebih kurang dua minggu. Saya sukakan rasanya yang
manis dan kemanisan itu yang memberikan saya tenaga dan cinta. Dan
harap-harap Taut memberikan sesuatu yang paling terbaik pada diri saya”,
ujarnya.
Melihatkan
‘supermodel nombor satu tanah air’ ni tidak habis-habis menyebut
perkataan ‘cinta’ sepanjang majlis, seperti biasa soalan wajib
dikemukakan padanya, sudahkah dia menemui cintanya?
Nasha
menjawab, “(senyum) Saya masih mencari cinta sebenar. Saya mencari
seseorang yang mempunyai matlamat dan kepercayaan yang sama dengan
saya.”
Menurut
Nasha, dia tidak meletakkan sebarang target waima dalam usia sebegini,
dia langsung tidak merasa bimbang dengan statusnya yang masih solo.
Sebaliknya pelakon filem Cinta Luar Biasa ini menyerahkan segala
pada-Nya.
“Masih solo.
Tak mengenali, mengenali pun. Penat lah nak kenal-kenal (gelak).
Lagipun banyak benda yang kita perlu mengenali, kan. Saya serahkan
pada-Nya. Saya harus bersyukur. Saya tak nak demand, tak nak merungut
kenapa sampai sekarang saya belum bertemu jodoh. Lagipun saya tidak
menerima sebarang desakan dari keluarga mahupun teman-teman rapat,”
“Lambat atau
cepat, saya percaya pada kentetuan-Nya. Mungkin bagi sesetengah wanita,
apatahlagi bila dah berumur, mereka akan risau kalau masih belum
berkahwin. Mereka mungkin malu. Tapi bagi saya, tak perlu rasa malu.
Bukankah setiap kita dah di janjikan akan ada adam atau hawa untuk kita
semua. Maknanya ada lah Adam saya, satu hari nanti, petahnya sambil
tersenyum lebar.
Menurut
Nasha lagi, walaupun hidup bersendirian dia gembira kerana sebetulnya
dia tidak sempat merasa sunyi. Tambahan dengan kehadiran kawan-kawan
sekeliling juga para peminatnya yang mencecah lebih 700, 000 di fanpage
rasminya sekaligus membuatkan rutin hariannya terisi.
“Saya rasa
hidup saya penuh dengan warna. Saya ada kawan-kawan, berbual dan
berkongsi rasa. Syukur saya ada peminat yang ramai. saya kongsikan hidup
saya dengan mereka. Walaupun saya tak selalu balas kiriman-kiriman
mesej peminat di fanpages saya, tapi mereka sentiasa menyokong dan
memberi semangat pada saya. Mereka beri saya cinta dan saya menerima
cinta. Jadi saya tak sempat pun nak rasa sunyi”, katanya lagi.
Dalam pada
itu, menyentuh mengenai perkembangan karier, Nasha baru saja selesai
menjalani penggambaran Stand By Me bersama produksi Indonesia. Antara
pelakon Malaysia lain yang turut menjayakan telemovie tersebut ialah
Jehan Miskin.
“Baru saja
habis shooting di Jakarta. Buat masa ni daya tidak menggambil job drama
atau filem. Lagipun dah nak bulan Ramadhan. Alhamdulillah, setiap kali
Ramdhan memang saya akan perlahankan aktiviti seni dan lebih banyak
luangkan masa dengan memenuhi aktiviti di bulan puasa, misalnya berbuka
puasa bersama anak-anak yatim,” ujar pelakon Super Mak ni mengakhiri
perbualan.