MASSA (kiri) dan Alonso masih lagi menjadi taruhan Ferrari pada musim 2012.
LONDON - Presiden Ferrari, Luca di Montezemolo yakin pasukan itu akan merampas kembali gelaran juara dunia dalam perlumbaan Formula Satu (F1) musim depan.
Di Montezemolo berkata, Ferrari kini telah mempunyai formula yang diperlukan dalam usaha merelisasikan matlamat tersebut.
Dalam saingan musim ini, pasukan yang diberi jolokan The Scuderia itu sering kali bergelut dengan prestasi tidak menentu sehingga menyaksikan mereka hanya mampu merekodkan satu kejuaraan sahaja.
Kejayaan tersebut menjelma menerusi pemandu mereka, Fernando Alonso pada Grand Prix (GP) Britain di Litar Silverstone, Julai lalu.
Lebih memburukkan keadaan, Ferrari juga hanya sekadar mampu menamatkan saingan musim ini di tempat ketiga dalam kategori pemandu dan pengeluar di bekalang Red Bull serta McLaren.
Bagaimanapun, Di Montezemolo optimis yang segala akan bertambah baik menjelang saingan musim depan.
"Ketika ini, kerja-kerja penambahbaikan berjalan dengan lancar.
"Ia melibatkan semua aspek termasuk reka bentuk jentera yang baharu, kerja- kerja simulasi, persediaan ketika berada di perhentian pit, bermulanya perlumbaan sehingga tamat.
"Kami (Ferrari) tidak boleh berasa gembira dengan pencapaian yang dilakar musim ini.
"Namun, itu boleh dijadikan motivasi buat pasukan ini untuk tampil lebih baik lagi.
"Sudah pasti ia akan menuntut kerja keras daripada seluruh ahli pasukan. Apa yang saya boleh katakan, semua formula yang diperlukan kini berada dalam genggaman kami untuk kembali melakar kejuaraan," kata di Montezemolo.
Dalam pada itu, beliau turut memberikan amaran kepada pemandu pasukan tersebut, Felipe Massa agar segera bangkit pada musim depan.
Ini kerana, di Montezemolo dilaporkan tidak berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan Massa apabila gagal menaiki podium dalam saingan musim ini.
Bukan berita mengenai kejayaan Massa yang banyak di siarkan, sebaliknya adalah kontroversi yang tercetus antara pemandu tersebut dengan Lewis Hamilton dari McLaren ketika dalam perlumbaan.
Justeru, di Montezemolo memberi Massa satu lagi peluang untuk membuktikan yang dia mampu melakar kejayaan musim depan.
Jika tidak, pemandu itu sudah boleh memikirkan untuk beraksi dengan pasukan lain pada musim berikutnya
![]()