Sebenarnya, bukan mudah bagi pasangan Yusri KRU – Lisa Surihani merancang urusan perkahwinan mereka di dalam tempoh lebih kurang dua bulan dari sekarang memandangkan masing-masing sebok dengan jadual kerjaya seni yang padat.
Justeru itu, Lisa Surihani menjelaskan bahawa dia dan Yusri sepakat untuk melantik kawan baiknya untuk menguruskan hal ehwal persiapan perkahwinan mereka yang dijadualkan pada Februari tahun depan itu nanti.
“Saya dan Yusry telah mengambil keputusan untuk membuat persiapan dengan lebih tenang, jadi kami telah melantik kawan baik saya untuk menguruskan persiapan majlis kami.
“Harap semuanya berjalan dengan lancar dan saya harap orang akan mendoakan yang terbaik untuk majlis perkahwinan kami nanti,” kata Lisa yang dipetik dari laman blog hiburan popular, Gua.com.my, di sini hari ini.
Menurut pemilik Gua.com.my yang menemui pelakon jelita itu di majlis tayangan media filem terbarunya, ‘Papa, I Love You’, semalam, Lisa Surihani mengaku ditawarkan tajaan untuk perkahwinannya kelak.
Bagaimanapun, tiada kata putus dari pasangan itu mengenai tawaran tersebut.
“Ada juga pihak yang menawarkan tajaan tapi kami masih belum beri kata putus,” katanya lagi.
Lisa berkata, kedua-dua pihak keluarga saling bekerjasama menguruskan soal perkahwinan mereka berdua dan pasangan itu hanya mengharapkan sebuah majlis yang berjalan lancar serta sederhana.
“Lagipun, kami tidak terlalu inginkan itu dan ini. Bagi kami, asalkan majlis berjalan dengan lancar, itu sudah mencukupi. Setakat ini, kedua-dua pihak bekerjasama untuk melaksanakan majlis tersebut,” jelasnya lagi.
Yusri dan Lisa Surihani baru-baru ini mengumumkan tarikh pernikahan mereka yang dijadualkan pada 23 Februari 2012 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, manakala majlis resepsinya pula bakal diadakan pada 26 Februari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).