Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) hari ini mempelawa Prof. Dr. Aziz Bari menyertai parti itu.
Naib Ketuanya, Raja Ahmad Al-Hiss berkata, pelawaan itu bertujuan supaya ahli akademik tersebut dapat meneruskan dan mempraktikkan ilmunya sebagai pakar undang-undang dan perlembagaan di negara ini.
Menurutnya, ziz berupaya membetulkan sistem negara dengan landasan yang betul dan tepat mengikut permahaman sebenar selepas menamatkan kerjaya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan menyertai PAS.
“Kami mengalu-alukan penyertaan Aziz sebagai ahli politik PAS bagi sama-sama membentuk sistem negara yang amat memerlukan ilmunya selama ini.
“Penyertaan beliau dapat memberi manafaat yang baik kerana ilmu yang telah ajar selama ini akan diterjemahkan di dalam membentuk sebuah negara mengikut lunas undang-undang yang sebenar,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Raja berkata, DPPP percaya ruang di dalam PAS dapat mengembangkan ilmu Aziz yang amat diperlukan bagi sama-sama memilihara Perlembagaan Negara yang sering kali menjadi satu pertikaian.
Justeru, katanya, PAS menunggu pendirian ahli akademik yang didakwanya berpegang teguh dengan pendirian dalam isu-isu negara untuk sama-sama berkhidmat kepada rakyat.
“Kami yakin penyertaan beliau (Aziz) kelak akan memantapkan lagi cita-cita PAS untuk melaksanakan Islam di tanah air kelak,” katanya lagi.