Pengurusan Miss Universe menggugurkan seorang peserta pertandingan itu, Jenna Talackova, semalam.
Tindakan menggugurkan Jenna daripada
menyertai pertandingan ratu cantik itu ialah kerana dia dilahirkan
sebagai lelaki. Jenna, 23, berjaya menyertai pertandingan Miss Universe
Kanada selepas memenangi pertandingan Miss Vancouver.
Ketika sesi peragaan pakaian renang, pihak juri mendapati terdapat kelainan pada susuk tubuh Jenna.
Sebaik mengetahui Jenna dilahirkan
sebagai lelaki, mereka sepakat menggugurkannya
daripada menyertai
pertandingan Miss Universe Kanada.
Pihak penganjur bagaimanapun membelanya dengan mengatakan Jenna seorang wanita tulen.
Namun, mengikut peraturan pertandingan
yang menekankan setiap peserta perlu dilahirkan sebagai perempuan, maka
pihak juri sepakat membatalkan penyertaannya.
“Dia mempunyai naluri seorang perempuan
dan dia memang wanita asli. Dia tidak menjangka soal jantina akan
menjadi persoalan dalam pertandingan ini,” kata Pengarah Kebangsaan Miss
Universe Kanada, Denis Davila.
“Jenna berharap kita dapat memberinya
peluang untuk dia bersaing dalam pertandingan itu, tetapi mengikut
peraturan, dia tidak layak untuk kembali bersaing,” katanya.
Sementara itu, Jenna turut memberi
ulasan mengenai pengggugurannya daripada menyertai Miss Universe melalui
Youtube. Jenna menceritakan sejarah hidupnya yang dilahirkan sebagai
lelaki tetapi mengubah jantinanya kepada perempuan.
Jenna berkata dia merasakan dirinya
sebagai perempuan sejak berusia empat tahun. Dia mendapatkan suntikan
hormon ketika berusia 14 tahun. Ketika berusia 19 tahun pula, Jenna
memutuskan untuk menjalani pembedahan jantina. – DM