Pelakon dan model, Zarina Anjoulie yang pernah mencetuskan kontroversi kerana bergambar seksi di sebuah majalah di Indonesia tahun lalu akan mendedahkan kisahnya itu dalam rancangan bertajuk Bilik 7 siaran saluran ntv7 tidak lama lagi.
Menurut Zarina yang dikatakan bergambar
seksi sehingga menampakkan sebahagian daripada buah dadanya di majalah
itu, dia turut menganggap Bilik 7 sebuah saluran yang mampu membersihkan
namanya yang pernah menjadi tohmahan segelintir masyarakat negara ini.
“Saya tidak kisah apa orang hendak kata tentang saya. Saya bukannya menjual tubuh saya,
sebaliknya ia adalah antara kerjaya saya. Semasa di Indonesia untuk
fotografi yang dikatakan kontroversi itu saya dibayar sedangkan di sini
saya tidak dapat apa-apa bayaran pun.
“Walaupun pada hakikatnya ramai juga
artis di sini yang bergambar seksi tetapi ia tidaklah sekontroversi
saya. Sekurang-kurangnya Bilik 7 memberi peluang saya membela diri dan
para penonton boleh mendengar sendiri cerita itu daripada mulut saya
sendiri,” ulasnya.
Zarina meluahkan komennya itu pada
sidang akhbar Bilik 7 yang diadakan semalam di Sri Pentas Bandar Utama,
Petaling Jaya di mana rancangan terbaru terbitan Engku Azmin Engku Zaini
yang diacarakan oleh Richie Rachman itu bakal bersiaran setiap Khamis 9
malam mulai 5 April ini.
Rancangan sebanyak 13 episod itu juga akan menampilkan ramai lagi selebriti terkenal bersama-sama cerita-cerita kontroversi yang pernah melanda mereka seperti Azwan Ali, Pian Cecupak, Radhi OAG, Raja Azmi Raja Sulaiman, Lisdawati, Mawi dan Gambit Saifullah.