July 04, 2012

Fazurina Bantu Artis Wanita Bertudung Berlakon

 Fazurina
Mengakui memahami perasaan artis-artis wanita bertudung yang tidak menerima tawaran berlakon dari beberapa syarikat produksi lakonan, Siti Fazurina Mohd Famir, 30, ikhlas ingin membantu artis-artis wanita negara.
Fazurina yang sekarang ini sudah bertudung turut mengakui sudah terasa seperti ‘dibiarkan’ dengan tidak menerima tawaran berlakon berbeza sewaktu dia belum mengenakan tudung.

Justeru itu, Fazurina telah menubuhkan syarikat produksinya sendiri di bawah Tripix Studios sejak setahun yang lalu.
“Saya sendiri sudah bertudung dan merasai tempias produksi tidak berani untuk mengambil pelakon bertudung seperti saya. Bagaimanapun bukan semua yang berbuat demikian.

“Menerusi syarikat produksi ini, saya boleh membantu artis wanita bertudung lain dari segi tawaran berlakon melalui projek-projek yang sedang saya usahakan, Insya-Allah,” kata Fazurina.

Artis wanita yang terkenal dengan mulut celotehnya sudah lama menyimpan hasrat untuk bergelar pengarah sejak diawal pembabitannya ke dalam dunia lakonan.
Setelah tertubuhnya syarikat pengarahannya sendiri, Fazurina bersyukur kerana syarikat hasil legasi keluarganya sudah dapat diteruskan oleh semangat dan usahanya sendiri.
“Syarikat ini adalah perniagaan keluarga dan saya mahu dua adik saya yang baru tamat pengajian di universiti mendapat pendedahan dan membantu saya menjayakan produksi ini.

“Alhamdulillahlah penantian selama sembilan tahun itu boleh dikira berbaloi kerana sepanjang tempoh tersebut banyak perkara yang telah saya belajar mengenai bidang penerbitan drama.
“Kini tiba masanya untuk saya praktikal dan berasa lebih yakin untuk bergerak sendiri dalam merancakkan lagi industri seni di negara ini,” katanya.

Sumber