Stesen No.1 Negara, TV3 terbukti terus menjadi saluran pilihan utama rakyat Malaysia apabila berjaya meraih jumlah kadar tontonan tertinggi menerusi slot Cerekarama pada malam Sabtu lepas dan sekali lagi sewaktu siaran langsung perlawanan akhir EURO 2012.
Bersiaran setiap malam Sabtu, slot Cerekarama minggu lepas menampilkan telemovie arahan sutradara terkenal Raja Ahmad Alaudin yang bertajuk “Maharku Untukmu”.
Mengisahkan suka duka kehidupan pemuda bernama Putera, menjadi Pak Sanggup kerana rela berkahwin dengan Tengku Aishah, anak gadis yang sombong dan lebih mementingkan darjat daripada maruah diri.
Putera dikahwinkan dengan Aishah demi menutup malu dan menjaga reputasi keluarganya apabila dia didapati mengandung sebelum bernikah.
Namun, Aishah masih tidak dapat menerima Putera dan melayan suaminya dengan buruk sedangkan Putera hanya menerima semuanya dengan sabar.
Berbekalkan jalan cerita yang menarik serta lakonan hebat dan penuh emosi daripada Adi Putra, Nabila Huda dan Norish Karman, telemovie terbitan Primeworks Studios ini berjaya mencatat jumlah penonton tertinggi sebanyak 2.4 juta (11.7 TVR) atau 43.1% (sumber: Nielsen Audience Measurement), sekaligus mendapat kedudukan pertama dalam senarai Top 700 program televisyen Negara sepanjang minggu akhir bulan Jun ini.
Rekod sekali lagi tercipta apabila hampir 1.5 juta peminat bolasepak Negara telah memilih saluran TV3 untuk menonton siaran langsung perlawanan akhir EURO 2012 di mana juara bertahan Sepanyol telah berjaya menumpaskan pasukan Itali (4 – 0) pada malam Ahad lalu.
Secara keseluruhan purata penonton yang menyaksikan perlawanan tersebut bermula jam 2.45 pagi hingga 4.45 pagi mencecah 1.1 juta (4.6 TVR) atau 52.3 % (sumber: Nielsen Audience Measurement).