GAMBAR fail
menunjukkan Prince (kanan) dan Paris (kiri) bersama Jackson semasa
mereka melawat sebuah zoo di Berlin pada tahun 2002.
LOS ANGELES -
Paris Jackson yang merupakan anak perempuan kepada penyanyi yang digelar
sebagai Raja Pop, mendiang Michael Jackson akhirnya mendedahkan punca
dia dan dua saudara kandungnya memakai topeng selama bertahun-tahun
semasa mereka masih kecil, lapor akhbar New York Daily News semalam.
Paris Jackson
berkata, dia mahu menggunakan sebahagian daripada harta peninggalan
bapanya untuk membina semula Neverland, khusus untuk menghibur
kanak-kanak kurang bernasib baik.
Pelajar itu berkata demikian ketika menceritakan saat bahagia yang dikongsinya dengan bapanya yang mati ketika berusia 11 tahun.
Dia mengunjungi
kediaman zaman kanak-kanaknya dua tahun lalu dan terkejut melihat roda
Ferris yang menjadi tarikan utama di situ sudah ditanggalkan.
“Saya menangis dan menangis. Roda Ferris itu memang sesuai di situ. Tetapi ia sudah tiada,” katanya.
Paris berkata, ia perlu dipasang semula untuk faedah kanak-kanak kurang bernasib baik.
Dia merancang memulakan projek itu sebaik mencapai usia dewasa.
Kenyataannya
pasti mengejutkan jutaan peminat Michael Jackson yang pernah melihat
impian superstar itu untuk membina tempat istimewa bagi kanak-kanak
musnah.
Paris yang kini
berusia 15 tahun juga merancang memberi penghormatan kepada mendiang
bapanya dengan mentatu kata-kata yang pernah diucapkan Jackson
kepadanya pada pergelangan tangannya apabila dia dewasa kelak.
Ketika ini, dia
mengenang bapanya dengan meletakkan gambar Jackson di bilik tidurnya
di rumah besar yang didiami bersama dengan abang, Prince, 16, dan adik,
Blanket, 11, di atas bukit di Los Angeles.
Mereka dijaga oleh ibu Jackson, Katherine, 82.
“Saya mempunyai
banyak kenangan bersama bapa. Dia bapa yang menakjubkan. Kami akan
menyayanginya hingga mati. Dia sentiasa cuba mendidik kami seboleh yang
mungkin.
“Dia sentiasa mengawasi dan melindungi kami,” kata Paris.
Gadis itu menjelaskan alasan Jackson memaksa mereka bertopeng apabila berada di tempat awam.
“Dia tidak mahu
sesiapa melihat rupa kami. Dengan cara itu kami memperoleh apa yang
tidak pernah diperolehnya kehidupan seperti kanak-kanak biasa.
“Dia juga cuba
memberi keluarganya satu kehidupan seperti kanak-kanan lain walaupun
mengadakan pementasan di luar daerah atau negara.
“Ini termasuk mengubah kamar hotel menjadi pawagam dengan projektor mudah alih,” katanya.
Cerita Paris
itu menyerlahkan perkara baru dalam kehidupan penuh kompleks Jackson dan
sekali gus mendedahkan kasih sayangnya terhadap Prince dan Paris yang
dilahirkan oleh bekas isterinya, Debbie Rowe serta Blanket oleh seorang
ibu tumpang.
Kehidupan ketiga-tiga anak Raja Pop itu kini dibiayai oleh Yayasan Keluarga Michael Jackson.
Yayasan
berkenaan juga bertanggungjawab membayar gaji 15 kakitangan sepenuh
masa, termasuk pengawal peribadi, tukang masak, dua pengasuh, pembantu
rumah dan tukang kebun di kediaman yang disewa dengan harga AS$26,000
(RM78,000) sebulan itu.
Kediaman mereka dikawal ketat dan kalis paparazi dan antara jiran mereka ialah Justin Bieber dan Britney Spears.
Meskipun kaya dan dari keluarga yang terkenal, Paris belajar di sekolah biasa.
“Saya mahu
mempunyai pengalaman bersekolah sama seperti orang lain,” katanya yang
kini menganggotai pasukan sorak dan mewakili sekolahnya dalam sukan
bola sepak selain menceburkan diri dalam bidang fotografi.
Dia turut mewarisi minat bapanya dalam bidang muzik dan mendedah mendiang bapanya pernah mengajarnya menari.
Namun, Paris tidak merancang menjejaki bapanya dalam dunia hiburan. Impian gadis itu ialah untuk menjadi pakar bedah jantung.
“Saya mahu membantu orang ramai. Itu saja,” katanya.
Dia mendedahkan
perkara itu dalam wawancara dengan majalah Event ketika keluarga
Jackson bersiap sedia untuk mengemukakan saman berjumlah AS$40 juta
(RM120 juta) terhadap AEG, promoter konsert Michael Jackson, ‘This Is
It’ di Arena 02 London.
Menurut dokumen
mahkamah, Katherine menuduh AEG mementingkan keuntungan besar hasil
daripada konsert itu tanpa mempedulikan kesihatan dan keselamatan
Jackson.
Paris dan
abangnya dijangka memberi kenyataan untuk mendedahkan lebih lanjut
mengenai kehidupan peribadi bapa mereka apabila kes itu dibicarakan.