September 28, 2011

Chong Wei bukan pada prestasi terbaiknya ketika kalah kepada Chen Long - Jurulatih

KUALA LUMPUR - Bukan prestasi Datuk Lee Chong Wei ketika kalah kepada Chen Long pada final Terbuka Jepun kelmarin yang terlalu dibimbangkan ketika ini tetapi taktik China yang sanggup 'mengorbankan pemain' untuk memberi laluan kepada pemain lain dikhuatiri mampu memberi impak buruk pada sukan Olimpik London 2012.

Kelmarin, Chong Wei kalah 8-21, 21-10, 19-21 kepada pemain No. 4 dunia, Chen Long dalam pertarungan selama satu jam, 13 minit iaitu kekalahan kedua berturut-turut buat jaguh No. 1 dunia itu selepas tunduk kepada Lin Dan pada final Kejohanan Dunia, bulan lalu.

Chen Long tampak lebih cergas dan bertenaga ketika berdepan Chong Wei selepas diberi kemenangan percuma oleh Lin Dan di separuh akhir, pada ketika Chong Wei pula melangkah ke final selepas melepasi cabaran jaguh Denmark, Peter Hoeg Gade. Lin Dan mendakwa sakit kaki sebagai punca penarikan, ironiknya ini bukan kali pertama dia menarik diri dengan alasan kesihatan setiap kali berdepan rakan senegara sendiri.

Bagi jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock, tiada apa yang tidak kena dengan anak didiknya itu di Jepun, malah biarpun bergelut untuk mengembalikan keyakinannya selepas kekalahan pada Kejohanan Dunia, namun beliau tidak nampak mentaliti sebagai faktor yang menyebabkan dia tewas kepada Chen Long.

Seu Bock mengakui, Chen Long menunjukkan prestasi yang baik kelmarin dengan bijak membaca gerakan Chong Wei, malah pemain berusia 22 tahun tampak mengambil kesempatan sepenuhnya daripada rehat sehari yang diperoleh dan menggunakan stamina yang tinggi untuk mengatasi lawan.

"Sudah tentu dia (Chong Wei) kecewa dengan kekalahan ini tetapi saya tidak fikir ia akan memberi kesan terlalu besar buatnya. Dia menerima kekalahan ini dengan positif kerana dia tahu dia sudah memberi yang terbaik, saya percaya dia akan bangkit selepas ini.
"Tiada apa yang perlu dicemaskan, Chong Wei kalah dalam perlawanan akhir kepada pemain yang bagus. Dia masih pemain yang konsisten dengan melangkah ke final dalam semua sembilan kejohanan yang disertai tahun ini, malah dia menang enam daripadanya.

"Bagaimanapun sekarang Chong Wei juga sedar dia perlu bekerja lebih keras dalam persiapan ke London kerana ketika ini, bukan Lin Dan saja yang mampu menjadi halangan utama untuk memenangi pingat emas Olimpik, Chen Long juga mampu menjadi ancaman. Malah, kita juga tidak boleh mengetepikan pemain seperti Chen Jin atau Peter Gade," kata Seu Bock.

Menurut Seu Bock, Chong Wei akan kembali menjalani latihan, Rabu ini untuk memastikan persiapan menghadapi kejohanan Siri Super Premier Terbuka Denmark di Odense, 18-23 Oktober depan tidak akan terjejas.

Ditanya apakah China mungkin mengulangi taktik yang sama pada kejohanan utama lain dan ia sekali gus menjejaskan peluang Chong Wei, jurulatih itu menegaskan, apa yang akan atau mungkin dilakukan China berada di luar kawalan beliau atau Chong Wei.
"Apa yang kami boleh lakukan cuba mempersiapkan Chong Wei di tahap terbaik supaya dia bersedia untuk berdepan mana-mana pemain. Dia tidak merudum dan masih berada dalam keadaan yang bagus," katanya.

Chong Wei, 29, pemilik enam kejuaraan pada 2011 - Siri Super Masters akhir, Terbuka Malaysia, All England, India Open, Grand Prix Emas Terbuka Malaysia dan Terbuka Indonesia memasang misi untuk mengekalkan kedudukan No. 1 dunia sehingga Sukan Olimpik 2011 bagi membolehkan dia mendapat undian yang lebih baik.: Kosmo :