Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada malam Sabtu bertitah pengurniaan pingat dan darjah kebesaran negeri itu adalah kuasa mutlak raja yang memerintah.
Baginda bertitah pengurniaan itu adalah
mengikut ’tilik pandang’ baginda sendiri dan bukan cadangan daripada
mana-mana pihak. “Oleh itu, janganlah ada sesiapapun yang cuba melobi
saya dalam hal ini,” titah baginda pada majlis Malam Johor Di Hatiku
anjuran Persatuan Anak Melayu Johor (PAMJ) di sini.
Turut berangkat pada majlis santapan itu Sultanah Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin, yang juga penaung PAMJ, dan isteri Puan Sri
Noorainee Abdul Rahman serta Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani
Othman dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sultan Ibrahim turut melahirkan kekesalan baginda kerana masih ada pihak
yang percaya kepada broker pingat untuk mendapatkan darjah kebesaran.
Sehubungan itu, jika ada pihak merasakan
diri layak memperoleh pingat serta darjah kebesaran, mereka perlu
bersabar kerana baginda dapat melihat orang yang patut menerimanya.
“Cubalah tanya Timbalan Perdana Menteri
Tan Sri Muhyiddin Yassin, berapa lama selepas menjadi Menteri Besar
Johor, baru beliau dikurniakan darjah mahkota Johor,” titah baginda.
Dalam perkembangan lain, Sultan Ibrahim
bertitah baginda berharap pemimpin atasan di peringkat pusat dari Johor
tidak akan lupa untuk membantu negeri sendiri.
Baginda juga berharap anggota PAMJ, yang
ditubuhkan pada 1982, tidak akan mengambil kesempatan menggunakan
persatuan itu untuk kepentingan peribadi, dan mereka perlu bekerjasama
bagi mencapai matlamat serta tujuan penubuhannya