Dunia ini sememangnya memiliki pelbagai
budaya aneh dan tradisi pelik yang kadangkalanya layak dianggap sebagai
satu amalan yang meloyakan anak tekak kita.
Di Dongyang, sebuah kawasan yang
terletak di provinsi Zhejiang di China, terdapat sejenis resepi tradisi
masyarakat tempatan yang diberi nama ‘telur anak teruna’ (Virgin Boy
Egg).
Menurut laman ibtimes.com, resepi ‘telur
anak teruna’ itu diperbuat dari telur ayam yang direbus di dalam periuk
besar dengan menggunakan air kencing budak lelaki!
Sebuah baldi besar disediakan di
tandas-tandas yang digunakan oleh kanak-kanak lelaki dan para peniaga
‘telur anak teruna’ akan mengumpul air kencing tersebut untuk dijadikan
ramuan resepi itu pada setiap hari.
“Ia sangat bagus untuk kesihatan, kami makan (telur anak teruna) setiap hari dan seluruh keluarga di Dongyang menggemarinya,” kata penjual telur tersebut, Ge Yaohua, 51.
Masyarakat Dongyang mendakwa bahawa
antara khasiat ‘telur anak teruna’ itu ialah ia mampu menguatkan tubuh
dan menghilangkan rasa sengal-sengal badan pada sesiapa yang
menikmatinya resepi ‘istimewa’ itu.
“Dengan makan telur ini setiap
hari, kami tidak akan sakit pinggang, kaki atau sendi. Ia juga mampu
memberikan tenaga tambahan untuk kami bekerja,” kata Li Yangzhen pula yang kemudiannya membeli 20 biji ‘telur anak teruna’ dari Ge.
Sesetengah pakar perubatan tradisional
masyarakat Cina bagaimanapun agak khuatir dengan tradisi yang berasaskan
urin dan dimasak secara terbuka di gerai-gerai telur tersebut.
Begitu juga dengan sesetengah masyarakat
di Dongyang yang sangsi dengan makanan tradisi masyarakat di situ dan
enggan meneruskan budaya itu dengan keluarga masing-masing.
“Saya tidak percaya pada khasiat telur itu, jadi saya tak makan telur itu,” kata Wang Junxing, 38. –