Golongan wanita tidak kira penduduk atau pengunjung di Tasikmalaya, Jawa Barat, akan diwajibkan memakai tudung sebagai menguatkuasakan Undang-undang Syariah.
Setiausaha
Bandar Tasikmalaya, Tio Indra Setiadi berkata, “Kami membuat persiapan
terakhir peraturan bandar supaya (Ordinan Nilai Hidup Masyarakat
berlandaskan Islam) boleh dikuatkuasa secepat mungkin.”
Katanya, “Diharapkan ia dapat diselesaikan bulan ini supaya ia dapat dikuatkuasa serta-merta.”
Tio
berkata, pengurusan bandar mungkin perlu menubuhkan Polis Syariah untuk
tujuan penguatkuasaan kerana Polis Nasional tidak boleh menangani
kesalahan undang-undang Syariah.
Katanya,
penguatkuasaan ordinan itu berlainan dari yang dibuat di Aceh kerana
kes-kes itu tetap perlu dibawa di mahkamah sedia ada.
“Penguatkuasaan
undang-undang di sini akan berbeza daripada di Aceh. Sebagai contoh,
tiada sebatan akan dikenakan. Ordinan ini bertujuan mendidik orang ramai
supaya hidup dengan tatacara Islam,” katanya.
Ordinan
yang ditandatangani pada 24 September, 2009, oleh Datu Bandar
Tasikmalaya, Syarif Hidayat, digubal kerana penduduk tempatan bimbang
globalisasi akan memudaratkan mereka di bandar yang terkenal dengan
bilangan sekolah agama yang banyak.
Ordinan itu mewajibkan semua orang Islam dewasa supaya menutup aurat, iaitu bahagian badan yang mesti ditutupi dalam Islam.
Lima
belas kesalahan lain turut disenaraikan seperti rasuah, pelacuran dan
zina, homoseksual, perjudian, minum arak, penyalahgunaan dadah, ilmu
sihir, pornografi, riba, pembunuhan, menyebarkan kultus dan pengguguran
janin.
Speaker Majlis Bandaraya
Tasikmalaya, Ruhimat berkata, ordinan itu diluluskan kerana 99 peratus
penduduk tempatan adalah orang Islam dan bukan disebabkan tekanan
daripada kumpulan Islam.
Dia tidak bimbang mengenai kesan undang-undang ke atas penganut agama lain.