Panggillah mak nyah, pondan, lembut atau apa-apa pun, golongan ini
mempunyai keistimewaan tersendiri. Paling ketara bijak mengatur bicara
dan menghiburkan sesiapa sahaja yang berinteraksi dengan mereka.
Begitu
juga Ismail Jantan yang mesra digelar Kak Is. Kemesraan diberikan
membuat penulis rasa begitu selesa sepanjang pertemuan malam itu.
Meskipun baru kali pertama bertemu, Kak Is tidak lokek bercerita apa
sahaja dan teruja menunjukkan koleksi gambar lama yang penuh nilai
sentimental buatnya.
Menyelusur kembali detik masa, anak kelahiran
1971 ini memulakan bicara dengan memetik kenangan zaman kecil.
Segala-galanya bermula apabila dipakaikan pakaian kakak walaupun lahir
sebagai lelaki. Sehinggakan ketika naik darjah satu, Kak Is meminta
uniform murid perempuan untuk dipakai.
Dek kelembutannya yang
ketara, ejekan Mail Pondan menjadi santapan harian. Dia lebih selesa
berkawan dengan perempuan berbanding lelaki yang dirasakannya kasar dan
tidak sensitif perasaan orang lain.
Mahu jadi Rozlina
Apa
juga tanggapan orang lain, itu tidak jadi kudis buat Kak Is. Apatah
lagi keluarganya tidak endah dengan kelainan ditunjukkan asal tidak
keterlaluan. Bergaya dengan mengenakan pakaian uniseks, Kak Is mula
bekerja sebagai budak pejabat pada usia belasan tahun.
“Masa itu tak ramai golongan macam saya. Sungguh pun begitu, ada hospital kerajaan boleh melakukan pembedahan jantina.
“Ketika
usia 17 tahun, saya buat keputusan sendiri tanpa diketahui keluarga.
Diam-diam saya daftar untuk ‘potong’ bahagian bawah agar dapat jadi
macam wanita sejati kononnya,” kata Kak Is.
Sebelum menjalani
pembedahan tersebut, Kak Is perlu mengambil pil hormon setiap hari.
Kemudian setiap bulan, dia dikehendaki berjumpa doktor untuk memeriksa
tahap hormon dan kesihatan keseluruhan.
Kesan daripada pengambilan
pil berkenaan, fizikal Kak Is semakin menyerupai kaum hawa sebenar. Di
sebalik ejekan daripada masyarakat, lebih banyak lagi pujian
mengembangkan hati diterima.
Malah di tempat kerja, Kak Is sangat
popular dan mempunyai ramai peminat. Popularitinya meruah sampaikan
kutipan dana dilakukan bagi membantu menjayakan hasrat menjalani
pembedahan menukar jantina.
Setelah setahun melalui rutin menelan
pil yang cuma akan hilang pahitnya di lidah selepas dua jam, tiba saat
dinanti-nantikan Kak Is. Dia dimasukkan ke wad perempuan sebelum menanti
masa menjalani pembedahan.
“Masa di wad itu tak ada sesiapa pun yang perasan saya sebenarnya lelaki. Perasaan takut dan berdebar ada.
“Tapi
saya nekad sebab fikir ini saja caranya untuk jadi macam perempuan
betul. Nama pun sudah disediakan. Saya dah berangan akan tukar nama
kepada Rozlina,” imbau Kak Is.
Kerja halal
Pendirian
itu bagaimanapun goyah selepas Kak Is melawat seorang kawan yang
terlebih dahulu menjalani pembedahan itu di hospital sama.
Seksa! Itu istilah paling tepat apabila melihat keadaannya yang sentiasa berkerut kesakitan.
“Aku menyesal. Baik kau jangan bedah. Nak kencing setitik pun sakitnya Tuhan saja yang tau,” rintih kawannya itu.
Plop!
Sekelip mata angan-angan menjadi Rozlina berkecai. Apa tergambar di
fikiran Kak Is hanyalah kerut seksa pada wajah kawannya yang asyik
meracau sakit. Tanpa berfikir panjang dia angkat kaki meninggalkan katil
hospital.
“Tapi ada baiknya saya tak jadi bedah. Semua yang buat menyesal tak sudah! Itu belum masuk kesan sampingan lain.
“Ramai
jadi ‘tingtong’ atau tak berapa betul lepas bedah. Mungkin sebab ada
saraf tertentu terpotong sekali atau disebabkan emosi terganggu kerana
bayangan dosa, tak pastilah pula,” ujar Kak Is.
Tambahnya, ada
juga yang mengalami tekanan perasaan berat sampaikan bermimpi setiap
malam ‘anu’ yang dipotong datang mencari minta ditanam dengan sempurna.
Pendek kata, kebanyakan terlibat pasti sedikit sebanyak merasakan
penyesalan.
“Tapi kebanyakan pondan baru sekarang bukan nak dengar
nasihat orang lama. Ada tu baru umur 15, 16 sudah pandai ke Thailand
untuk ‘potong’ sebab tak boleh lakukannya di sini.
“Kalau setakat ambil pil, esok lusa kalau nak bertaubat dan tinggalkan pil tu, bahagian yang membesar akan kecut semula.
“Paling ralat sudahlah dapat dosa sebab bedah tang situ, buat pula kerja tak elok menjual diri,” selarnya.
Tingkatkan kemahiran
Bagi
Kak Is, golongan lembut yang menjual dirilah punca mak nyah lain
mendapat pandangan jijik masyarakat. Sedangkan di luar sana, ramai lagi
yang menyandang jawatan hebat dan berjaya dalam karier.
“Kak Is
selalu nasihatkan mereka, kalau tak ada pelajaran tinggi pun buatlah
kerja halal. Jual minyak wangi di pasar raya pun tak apa daripada
mengharap duit makan daripada sumber haram.
“Percayalah, hidup tak
ke mana sudahnya nanti,” ujar Kak Is yang bersyukur kerana pernah
mengambil kursus solekan dan dandanan ketika berusia awal 20-an.
Menggunakan
kelulusan berkenaan, Kak Is membuka perniagaan andaman malah pernah
bergelar jurusolek terkenal satu ketika dulu. Antara artis yang sering
mendapat khidmatnya ialah model dan pelakon, Nasha Aziz.
“Waktu
muda ramailah yang nak kat kita. Tapi tanpa kerja tetap atau kemahiran
untuk meraih pendapatan, lama kelamaan pasti tersungkur.
“Masa tu
menyesal pun dah tak guna,” tutur Kak Is yang kini menjalankan
perniagaan di rumahnya yang terletak di Subang Jaya, Selangor.