Cuba pembaca bayangkan seorang
bayi yang baru berusia dua minggu, yang masih lembut tubuhnya dihayun ke
kiri dan kanan oleh seorang dewasa mengelilingi kepala serta
diperlakukan seolah-olah seperti peralatan senaman harian.
Menakutkan?
Begitulah ‘Yoga Bayi’ yang dipraktikkan
oleh seorang pakar terapi dari Rusia, Lena Fokina, 51, terhadap seorang
bayi yang menjadi ‘mangsa’nya dan aksi-aksi ‘akrobatik’ tersebut jelas
membimbangkan ramai pihak, khususnya para ibubapa.
Menurut Lena, terapi itu asalnya
diamalkan oleh puak-puak Afrika purba yang kemudiaannya dipermodenkan
oleh seorang pakar, Dr. Igor Charkovsky, dan dilakukan terhadap bayi
yang berusia beberapa minggu hingga umurnya mencecah dua tahun.
Wanita Rusia itu juga menjelaskan bahawa
teknik itu sangat membantu tumbesaran bayi dan menegaskan bahawa
tindakannya itu tidak salah dari sudut kemanusiaan sama sekali.
“Kaedah ini pada asalnya dibangunkan
untuk menyembuh dan membetulkan kesihatan bayi yang mempunyai masalah
otot atau tulang, namun ia juga sesuai untuk kanak-kanak yang sihat.
“Pergerakan ini direka untuk meningkatkan keupayaan otot dan pembangunan mereka.
“Dan sebenarnya bayi mampu membaca,
menyanyi, bercakap, berenang sejak dilahirkan. Ia (yoga bayi) juga
membuat tangan mereka yang lebih kukuh. Kami berperi kemanusiaan dan
tidak berbuat apa-apa kesalahan pun,” katanya yang dipetik dari laman
Dailymail.uk.com.
Meskipun menyedari ramai pihak yang
marah melihat perlakuannya terhadap bayi yang menjalani terapi yoga bayi
itu, Lena menegaskan bahawa tubuh badan bayi yang masih lembut itu
mampu menyesuaikan diri dengan kaedah itu.
“Tubuh badan bayi yang kecil yang boleh menyesuaikan diri dengan proses mudah jika diamalkan secara beransur-ansur.
“Bayi itu akan selamat (dari sebarang
kecederaan) sekiranya ibubapanya atau pengamalnya mempelajari, memahami
dan menggunakan cara yang diajar oleh Dr. Charkovsky.
“Kebanyakkan orang rasa marah melihatnya
(cara terapi yoga bayi) kerana mereka tidak sedar mengenai keupayaan
sebenar bayi sedangkan sebenarnya kebolehan bayi-bayi ini lebih luas
dari yang difikirkan,” katanya lagi.
Bagaimanapun, hujah Lena dan Dr.
Charkovsky ini telah mencetus kontroversi dari ramai pakar-pakar
perubatan moden yang membantah terapi ‘kejam’ itu.
Ada di antara pakar-pakar itu yang
berpendapat bahawa terapi itu mampu menyebabkan gegaran otak dan
mengakibatkan kecacatan mental bayi.
Lena menyifatkan kritikan negatif yang
diterimanya itu sebagai jahil dan melalui pengalaman selama 30 tahun
mempraktikkan yoga bayi, belum ada lagi bayi yang berakhir dengan
kecacatan mental mahupun fizikal.
“Pertama kali saya mencuba yoga bayi
ialah pada 30 tahun lalu terhadap anak perempuan sulung saya, Alexandra.
Pada mulanya saya bimbang, tetapi kemudian saya menyedari bagaimana
anak-anak saya gembira menikmatinya dan ia begitu memberi inspirasi
kepada saya.
“Mereka yang mengkritik kaedah ini
adalah jahil. Jika mereka cuba untuk memahami apa yang kami lakukan,
mereka akan mengubah pemikiran (tanggapan) mereka.
Semua anak-anak saya telah berkembang
mengikut kaedah Charkovsky dan mereka semua telah mencapai keputusan
cemerlang dalam kehidupan. Anak-anak saya adalah juara Rusia dalam acara
payung terjun, terjun bebas dan menunggang kuda.
“Sekarang anak-anak saya mengamalkan
mereka kaedah-kaedah yang sama pada anak-anak mereka sendiri. Ia adalah
bukti yang terbaik,” katanya penuh yakin.
Berikut adalah aksi bayi yoga yang
dimaksudkan dan para pembaca diingatkan agar jangan melakukan aksi-aksi
sedemikian selagi tidak mempelajari dan mahir dengan kaedah yang
diperkenalkan Dr. Charkovsky tersebut. –
Read more ...