Evoque lebih atlet & agresif
Reka bentuk kemas dan menarik beri keselesaan sepanjang pemanduan
Range Rover Evoque kali ini tidak perlu didebatkan lagi, kerana ia
adalah kereta Land Rover paling bergaya pernah dihasilkan oleh pengeluar
automotif British itu.
Produk konsep jentera itu pernah didedahkan di North American
International Auto Show pada Januari 2008 dengan nama Land Rover LRX.
Dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2011, tempahan yang diterima oleh
Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd cukup memberangsangkan sekali gus
menjadikan ia sebagai model ‘penaklukan’ yang berkesan untuk Land Rover.
Lebih kepada bentuk crossover berbanding tradisional SUV (kenderaan
utiliti sukan), ia berjaya menarik pembeli baru hasil daripada reka
bentuk moden dan sporty.
Tampil dengan perbezaan rupa yang radikal berbanding model Land Rover
lain, masih ada elemen gaya yang boleh mengaitkannya dengan jenama
tersebut. Rekaan muka di bahagian hujung hadapan memiliki gaya sama pada
wajah Land Rover tetapi didatangkan dengan dua unit lampu moden dan
unik setiap hujungnya.
Evoque disebut ‘Evoke’ berjaya mengimbangi watak agresifnya dari segi
bentuk tirai depannya dengan profil yang menakjubkan dan elegan. Cermin
depan yang rata dan bumbung tirus dramatik berjaya merealisasikan konsep
LRX menjadi realiti syarikat.
Dan, saya begitu sukakan bumbung ‘terapung’ Range Rover. Garisan bumbung yang rendah memberi sedikit kelainan.
Pasukan pereka bentuk dan jurutera juga membangunkan ciri-ciri
tersendiri dan inovatif menerusi pemasangan lampu utama adaptif xenon
bersama grafik signatur pada lampu hadapan menggunakan teknologi bilah
lampu LED inovatif. Grafik sama diulang pada lampu belakang LED dengan
reka bentuk kelopak 3D yang kelihatan sama seperti batu permata.
Kabin yang menyenangkan
Hitam itu menawan! Unit pandu uji Pemotoran adalah hitam dan begitu
juga kabinnya. Bahagian kabin menawarkan susunan ergonomik dan
penggunaan material mewah yang sudah diketahui dari Range Rover.
Evoque menggunakan rata-rata permukaan yang lembut di bahagian
dalamnya.Konsol tengah yang tinggi memisahkan pemandu dan penumpang di
sebelahnya.
Sentuhan Jaguar juga dapat dilihat di beberapa bahagian termasuk
transmisi automatik enam kelajuan AW F-21 enam generasi terkini bersama
Rotary Auto Shifter yang naik daripada konsol tengah sebaik enjin
dihidupkan dan skrin sentuh HVAC dan kawalan sistem audio, yang
merupakan salah satu sistem paling mudah dan paling intuitif di luar
sana.
Malah, penggunaan lampu ambien LED memberikan iluminasi sofistikated dalam kabin.
Sistem audio11 pembesar suara cukup menyenangkan dan saya begitu sukakan bunyi yang dikeluarkan sungguh enak.
Evoque juga turut berhadapan dengan pesaing tegar daripada beberapa
model cemerlang pada harga yang kurang mahal dan musuh yang lebih
tradisional daripada Jerman. Bagaimanapun, apa yang ditetapkan Evoque
berbeza menerusi penampilan yang begitu hip dan diperibadikan dengan
cara tersendiri.
Di bawah hudnya, Evoque 2.0 liter petrol dikuasakan enjin Si4 baru yang menghasilkan kuasa maksimum 240PS.
Ditambah dengan transmisi automatik enam kelajuan, enjin yang digunakan
bukan hanya penuh semangat tetapi juga menggunakan suntikan langsung
bahan api untuk meningkatkan perbatuan.
Mahal atau tidak, Evoque adalah permulaan yang kukuh. Range Rover
Evoque menawarkan tempat duduk pemandu yang menyokong struktur badan.
Kerusi kemasan kulit itu seolah memeluk badan anda, ia cukup selesa
untuk perjalanan jauh tanpa mudah berasa penat.
Walaupun garisan bumbung yang rendah ke belakang anda masih selesa
duduk di belakang walau dengan ketinggian 173 sentimeter. Kerana kerusi
belakang yang sedikit tenggelam memberikan ruang kepala buat mereka yang
tinggi. Secara peribadi, lebih selesa hanya dua penumpang dewasa berada
di belakang berbanding tiga kerana anda akan berasa sedikit sesak
kerana tingkap yang kecil dan bumbung sedikit rendah.
Duduk belakang agak mengejutkan! Saya seolah berasa duduk di dalam
kenderaan yang berbeza kerana suspensi belakang terasa keras berbanding
duduk di hadapan di mana suspensinya terasa lebih lembut.
Begitu berbeza, secara jujur saya kurang selesa duduk di belakang seolah memasuki pintu kereta lain dan bukannya Evoque!.
Meluangkan masa memandu jentera pada hujung minggu, kenderaan itu
menjadi senjata paling sesuai untuk memandu perjalanan jauh yang memakan
masa lebih lama. Nisbah stereng yang ditawarkan oleh Evoque cukup
memuaskan, ia cepat memberi respons seolah anda bermain dengan kenderaan
itu.
Sensasi yang ditekankan oleh tindak balas pendikit sungguh responsif
dan ketika anda menggunakan mod sport, jentera terasa lebih ringan
ketika meluncur laju berbanding gear D. Brek juga begitu responsif.
Namun, saya sedikit kurang senang dengan cermin belakang yang sedikit
kecil, tetapi jarak penglihatan belakang tidak banyak isu. Kita
mendapati diri kita mempunyai isu melihat ke hadapan, khususnya dalam
persimpangan, terima kasih kepada cermin sisi yang besar.
SUV kecil dan kenderaan crossover adalah masa depan, jadi kenderaan
seperti Evoque tidak dapat dielakkan oleh Land Rover. Walaupun prospek
Defender baru adalah menarik, Land Rover telah dapat membina kenderaan
dengan penggunaan bahan api menjimatkan dan lebih cekap untuk kekal
berdaya saing. Range Rover, pada masa yang sama mengambil langkah besar
ke arah masa depan.
Jika anda sedang mencari jentera bandar yang masih boleh membawa anda
ke ladang pada hujung minggu, dan melakukannya dalam gaya dan
keselesaan, Rover Range Rover Evoque berada dalam senarai itu. Harga
yang ditawarkan bagi model itu adalah RM363, 888.