September 19, 2011

1056 Peneroka Felda Kawasan Jengka Saman Felda Sejumlah 510,048,000.00


Penyerahan tambahan Borang Perlantikan Peguam seramai 345 orang oleh Wakil Peneroka Felda Jengka 17 kepada Sdri Latheefa Koya, Pengerusi Biro Guaman Parti Keadilan Rakyat
Latheefa Koya sedang menerangkan prosedur mengenai saman peneroka terhadap Felda untuk kefahaman peneroka-peneroka yang menyaman Felda.
Sehingga ke saat akhir masih ada peneroka memasukkan Borang Perlantikan Peguam diserahkan kepada Sdr Bostamin Bakar, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak bagi menyaman Felda.
Sdr Razali Ithnain menerangkan mekanisme bagaimana jumlah sebanyak RM483,000 ditetap sebagai jumlah setiap peneroka menyaman Felda. Razali adalah bekas pegawai MPOB.
Jawatankuasa Bertindak yang mewakili peneroka-peneroka untuk menyaman Felda, berbaju kuning adalah Haji Suhaimi Said, Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR dan disebelah kanannya adalah Sdri Latheefah Koya, peguam yang bertindak mewakili peneroka-peneroka.

Seramai 345 orang lagi Peneroka Felda dari kawasan Jengka yang menghantar buah sawit kepada 3 kilang Felda di kawasan ini iaitu Felda Jengka 8, Felda Jengka 3 dan Felda Jengka 18 hari ini menyerahkan Borang iaitu Waran Perlantikan Peguam.

Penyerahan ini disempurnakan pada jam 11.30 pagi di Markaz PAS Felda Jengka 17. Dengan penambahan 345 orang peneroka itu maka jumlah keseluruhan Peneroka Felda dari kawasan Jengka untuk menyaman Felda adalah 1056 orang, jumlah ini adalah terbesar jika dibandingkan saman yang dikemukakan oleh Peneroka-Peneroka Felda di Felda Kemahang 3, Felda Kemahang 1, Felda Kemahang 2, Felda Maokil, Felda Serting 1, Felda Serting 2, Felda Palong 9, Felda Palong 5 dan Felda Palong 6.

Jumlah tuntutan yang dikemukakan oleh 1056 Peneroka ini adalah sebanyak RM510,048,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus Sepuluh Juta, Empat Puluh Lapan Ribu) merupakan jumlah terbesar yang pernah dituntut oleh peneroka-peneroka Felda terhadap Felda.

Peneroka-peneroka menuntut kerana peratusan perahan KPG buah sawit mereka telah dimanipulasi oleh Felda dan Kilang-Kilang Felda disamping itu mereka juga menuntut buah sawit yang ditolak oleh Kilang Felda kononnya buah-buah itu mengkal, muda dan tangkal panjang walhal buah-buah ini diuji di makmal dengan peratusan perahan sebanyak 20%.

Buah-buah sawit dari kawasan ini telah dihantar ke Makmal dan telah disahkan bahawa peratusan perahan KPGnya tidak pernah jatuh dari 27% sedangkan Felda hanya membayar kepada peneroka-peneroka diatas kadar perahan antara 17%-19% dan oleh kerana itu mendatangkan kerugian yang amat besar kepada peneroka-peneroka. Kiraan selama 15 tahun kerugian yang ditanggung oleh peneroka-peneroka adalah melebihi RM400,000.00 bagi setiap peneroka.

Peneroka-peneroka yang menghadiri Majlis Penyerahan Borang Perlantikan Peguam hari ini juga diberikan taklimat oleh Haji Suhaimi Said, Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR mengenai Hutang yang dikenakan oleh Felda keatas peneroka-peneroka yang menyerahkan ladang mereka untuk diuruskan oleh Felda dan anak syarikat Felda iaitu Felda Plantation.

Haji Suhaimi menerangkan bahawa sesungguhnya peneroka-peneroka tidak pernah berhutang kepada Felda tetapi sebaliknya Felda yang berhutang dengan peneroka-peneroka.

Selepas 8 tahun Felda menjalankan tanam semula keatas ladang-ladang peneroka, hutang yang ditanggung oleh peneroka-peneroka yang dikenakan keatas peneroka-peneroka adalah berjumlah antara RM80,000.00 hingga RM120,000.00, sedang jika dikiran pendapatan yang diperolehi oleh peneroka-peneroka yang tanam sendiri, dalam tempoh itu tidak kurang dari RM240,000.00. Jika ditolak hutang peneroka-peneroka dan disesuaikan dengan pendapatan yang patut diperoleh oleh peneroka-peneroka maka Felda masih terhutang dengan setiap peneroka sebanyak RM120,000.00 hingga RM150,000.00 (minima).

Oleh kerana itu peneroka-peneroka yang menerima Penyata Hutang dari Felda hendaklah menuntut Kunci Kira-Kira (tanggungan dan pendapatan) agar ketentuan hutang dapat dilihat dengan jelas.

Jika Felda gagal menyerahkan kuci kira-kira tersebut maka peneroka-peneroka tidak perlu mebuat sebarang bayaran keatas hutang yang dinyatakan oleh Felda kerana seungguhnya Feldalah yang berhutang dengan peneroka-peneroka.