September 30, 2011

Kelab tiada hak lagi: Ferguson


Sir Alex Ferguson berpendapat kelab sudah tiada pilihan melainkan turut kepada jadual padat kerana perjanjian yang membolehkan stesen TV mengaut keuntungan besar.

LONDON, (PA Sports) - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson mendakwa bola sepak Inggeris kini dikawal oleh stesen televisyen, bukan lagi oleh kelab.

Pengurus berusia 69 tahun itu berkata United dan kelab-kelab lain kini terpaksa menerima akibat daripada perjanjian lumayan yang memberikan hak penyiaran kepada televisyen untuk menyiarkan perlawanan EPL secara langsung.

Perjanjian kini menyaksikan BSkyB dan ESPN berhak menyiarkan 138 perlawanan bagi satu musim untuk tempoh dari 2010-2013 bagi kos berjumlah £1.782bilion (RM8.79b).

Ferguson berpendapat jadual kini terlalu padat terutama pada minggu aksi Eropah.

"Bila anda membuat perjanjian sebegini, anda perlu terima padahnya," kata Ferguson.

"Televisyen berkuasa sepenuhnya ketika ini.

"Anda boleh lihat sendiri kesannya kerana mereka memilih bila pasukan-pasukan utama beraksi mengikut kehendak mereka sendiri.

"Akibatnya, pasukan terpaksa bermain dua perlawanan dalam tempoh kurang dari empat hari.

"Perjanjian ini juga tidak adil kerana EPL disiarkan ke 200 negara. Kami tidak menerima (wang) secukupnya," tambah beliau lagi.