
Jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek (kiri) dan jurulatih beregu, Rexy Mainaky ketika berbincang selepas undian pemain Kejohanan Badminton Dunia 2011
KUALA LUMPUR, (D5) - Jurulatih badminton Rexy Mainaky belum bersedia menerima pujian di atas kejayaan cemerlang anak didik barunya Vivian Hoo dan Woon Khe Wei yang menjuarai Kejohanan Badminton GP Emas Terbuka Indonesia, Ahad lalu.
Bagi Rexy, kejutan yang dilakar Vivian dan Khe Wei adalah hasil usaha gandingan itu sendiri dan mengakui penglibatannya bersama beregu itu di Indonesia adalah pada kadar minimal.
Malah Rexy tidak mahu terlalu dibuai dengan kejayaan Vivian dan Khe Wei kerana tahu masih terlalu awal untuk dia berpuas hati dengan pujian yang diterima.
Justeru Rexy mahu kewibawaannya sebagai jurulatih baru skuad beregu wanita dan campuran negara di nilai pada kejohanan-kejohanan akan datang.
Rexy turut berkongsi wawasannya untuk skuad beregu wanita negara apabila memberi gambaran Vivian dan Khe Wei sebgai pengganti kepada gandingan utama negara Chin Eei Hui-Wong Pey Tty.
Beliau turut berazam mahu melakukan apa yang terdaya untuk memastikan mereka sentiasa kekal di landasan mencapai potensi menjadi beregu yang ampuh.
![]()
