
Selepas 16 tahun mendirikan rumah tangga dengan suami tersayang, Datuk Meor Zain Azman dan dikurniakan tiga cahaya matanya iaitu Arissa 15, Khadija, 11 dan Soraya, 8, Sofea memberitahu keluarganya adalah perkara paling penting buat dirinya.
“Saya tidak pernah menyesal berkahwin pada usia muda kerana itu adalah keputusan paling terbaik pernah saya lakukan dalam hidup. Kini melihat anak-anak membesar di depan mata memberikan kepuasan berbeza sebagai isteri dan ibu.
“Tidak sukar untuk membuat keputusan itu kerana saya memang mahu berkahwin awal untuk memulakan keluarga dan percaya, saya sentiasa boleh kembali berlakon pada bila-bila masa yang saya mahu,” ujarnya ketika ditemui OopStarz! di kediamannya di Ampang baru-baru ini.
Pada pertemuan itu, banyak ingin diperkatakan oleh Sofea seperti tugasnya sebagai anak seni, ibu dan juga pemerhati kepada dunia pentas lakonan. Paling menjadi perhatiannya kini adalah peranan wanita dalam dunia perfileman.
Memandang tinggi kepada pelakon-pelakon seperti Siput Sarawak, Mariani, Fauziah Nawi, Azean Irdawaty, Normah Damanhuri, Wan Maimunah dan sebagainya, Sofea memberitahu nama-nama besar itu telah memberi impak kepada dirinya untuk terus bertapak dalam dunia lakonan.

“Wanita-wanita ini adalah idola saya, malah ketika mula-mula terlibat dalam dunia lakonan saya ingin menjadi seperti mereka.
“Komitmen dan keterujaan mereka ketika membawakan sesuatu watak cukup memberi kesan kepada penonton. Ada kalanya saya sendiri terfikir bagaimana mereka lakukan dan apa lagi yang boleh mereka lakukan,” ujarnya bersungguh-sungguh.
Sofea memberitahu, walaupun mereka telah dikategorikan sebagai pelakon veteran tetapi impak lakonan mereka tiada tandingan.
“Filem atau drama pada hari ini terlalu banyak memberi fokus mengenai wanita berusia 20-an. Cerita mengenai wanita 30-an ke atas jarang dapat dipaparkan meskipun kita mempunyai banyak pelakon berbakat besar. Ia adalah satu kerugian,” ujarnya.
Sofea bagaimanapun teruja dapat kembali bergandingan dengan Normah Damanhuri melalui filem terbaru arahan U-Wei, Hanyut.
Katanya, dia sentiasa memasang hasrat untuk kembali berlakon bersama pelakon berbakat itu kerana mengagumi kebolehannya dalam memegang sesuatu watak.

“Ketika memegang watak Zaleha saya begitu muda dan tidak banyak pengalaman. Saya mengingati Kak Normah banyak membantu saya dalam memperbaiki mutu lakonan selain teruja kerana dapat berlakon dengannya.
“Kini sekali lagi saya bergandingan dengannya dalam filem terbaru arahan U-Wei membuatkan saya teruja kerana kami dapat berkongsi pelbagai perkara,” ujarnya.
Mengakui lebih yakin memegang sesuatu watak, dia berkata itu mungkin kerana pengalaman dan pandangan yang berbeza sejajar dengan peningkatan usia.
“Selepas lebih 22 tahun bergelar anak seni saya lebih peka terhadap perkara yang dilihat kerana apa yang kita lakukan dan perkatakan akan memberi kesan kepada orang lain. Saya lebih berprinsip,” ujarnya.
Menanti usia 40 tahun
Panjang lebar bercerita mengenai kehidupannya hari ini, Sofea memberitahu dia ingin menggunakan masa yang dikurniakan dengan lebih bermakna bersama keluarga dan melakukan sesuatu untuk industri perfileman negara.
Ditanya mengenai usianya yang bakal mencecah 40 tahun pada 14 Februari tahun hadapan, Sofea optimis dan tidak memandang angka itu sebagai sesuatu yang perlu ditakuti.
“Saya sejujurnya menantikan untuk mencecah usia 40 kerana ia akan menjadi satu fasa baru dalam hidup saya,” ujarnya teruja.
Mencontohi nama besar seperti Datuk Maria Menado dan seniwati Mariani sebagai idola, Sofea memberitahu dia mengagumi dua bintang itu yang sentiasa bersemangat tentang kehidupan dan ingin menjadi seperti mereka.
“Saya kagum dengan dua wanita itu yang begitu bersemangat menghadapi kehidupan walaupun sudah berusia. Lihat sahaja Mariani, masih kuat dan masih mampu mencurahkan bakat pada dunia lakonan yang dicintai. Semangat seperti itu yang mahu saya contohi,” ujarnya.
Gemar menghabiskan masa dengan membaca ketika waktu lapang, dengan cara itu Sofea dapat menambah ilmu pengetahuan dan informasi yang disifatkan penting dalam kehidupan seseorang.
11 soalan menarik untuk SofeaJane
1. Antara garam, gula dan kopi,manakah lebih utama?
Kopi.
2. Doraemon, Ultraman atau KnightRider?
Tidak minat kesemua di atas.
3. Ikan bilis atau ikan kembung?
Ikan bilis.
4. Kelajuan kereta. 80km/j atau150km/j?
80km/j kerana tidak ingin di saman.
5. Apakah yang menarik pada suami?
Kejujurannya.
6. Ketika bila selalu naik angin?
Hanya resah apabila melihat manusiamenghina yang lain.
7. Menjerit pada waktu...?
Bersama teman-teman rapat.
8. Nombor berapa bawa tuah?
Tidak percaya kepada nombor yangmembawa tuah.
9. Bali, Bandung atau Petaling Street?
Petaling Street.
10. Barang apa yang masih berhutang?
Tiada.
11. Terkejut ketika?
Memenangi Anugerah Pelakon WanitaTerbaik pada Anugerah Skrin suatu ketikadahulu. : mStar
![]()
