
Saya rasa anda mungkin pernah mendengar
bahawa kehidupan kita ini adalah seperti sebuah roda yang berputar.
Sekejap kita berada di atas, sekejap kita berada di bawah. Sekejap kita
hidup senang, dan sekejap kita hidup susah. Proses ini berulang-ulang
sama seperti sebuah roda yang berputar tanpa henti.
Begitulah juga dengan perhubungan kita
bersama dengan pasangan. Ianya sama seperti sebuah roda, seperti
kehidupan yang kita lalui. Kadang-kadang kita rasa gembira dengan
pasangan kita. Tetapi ada masanya, kita akan berasa sedih.
Macam-macam perkara boleh berlaku dalam
berpasangan. Ketika ‘roda’ kita berada di atas, segalanya adalah
kegembiraan. Kita rasa gembira apabila dapat berjumpa dengan si dia,
berjalan bersama-sama, menonton wayang bersama-sama, berkongsi kisah dan
cerita, dan meluangkan masa bersama dengannya.
Tetapi, apabila ‘roda’ kita berada di
bawah, segalanya hanyalah kesedihan. Mungkin disebabkan berlakunya
perselisihan faham, terasa dengan sikap pasangan, atau berkecil hati
menyebabkan perhubungan itu tidak manis dan menjadi hambar. Pada waktu
itulah kita sedar bahawa tidak segalanya indah dalam berpasangan. Langit
yang cerah tidak akan sentiasa cerah tanpa mendung dan hujan.
Bagaimana menghadapi ketika ‘roda’ berada di bawah?
Setiap yang berlaku ada hikmahnya yang
tersendiri. Allah swt tidak menurunkan hujan untuk menyusahkan hambaNya.
Tetapi adalah untuk kebaikan hambaNya jika mereka mengetahui. Hujan
yang turun adalah untuk menyuburkan hasil tanaman, membasahkan tanah
yang kering kontang, dan agar hambaNya dapat minum dari air yang
diturunkan ke Bumi.
Begitulah juga dengan keadaan apabila
anda sedang mengalami masalah dengan pasangan anda. Apa yang berlaku
sudah semestinya ada hikmahnya yang tersendiri. Pada waktu inilah anda
perlu menilai semula perhubungan anda agar ianya dapat diperbaiki. Di
antara yang boleh anda lakukan adalah:
1. Muhasabah diri –
Ambil peluang ini untuk muhasabah dan menilai diri anda. Cuba selidik
semula sepanjang perkenalan, adakah anda pernah menyakiti hatinya?
Adakah anda pernah membuatkan si dia terasa, berkecil hati, atau anda
pernah berselindung sesuatu dengannya? Selidik dan imbas semula satu
persatu kesalahan yang pernah anda lakukan.
2. Perbetulkan mana yang silap
– Dalam muhasabah diri itu, sudah semestinya anda akan jumpa beberapa
kesilapan yang pernah anda lakukan. Perbetulkan kesilapan itu dan jangan
ulanginya semula. Walaupun anda tahu si dia pun ada membuat kesilapan
pada diri anda, tetapi perbetulkan terlebih dahulu diri anda sebelum
anda membetulkan orang lain.
3. Memohon maaf dan sedia memaafkan
– Setiap kesilapan yang dibuat, jika anda ada terkasar bahasa, terlepas
kata, mohon maaflah kepada pasangan anda. Setiap insan sudah semestinya
akan membuat kesilapan. Jalan yang terbaik adalah memohon maaf
kepadanya. Namun begitu, anda juga perlu bersedia memaafkan pasangan
anda sekiranya si dia memohon kemaafan. Janganlah berdendam hati atau
menyimpan hasad dengki kerana ianya amat menyakitkan. Maafkanlah
kesalahannya agar anda berasa lega dan terlepas daripada amarah dalam
dada.
4. Jadikan apa yang berlaku untuk mematangkan perhubungan anda
– Seperti yang saya katakan tadi, setiap yang berlaku sudah pasti ada
hikmahnya. Pasti ada kebaikanya yang tersendiri. Ambil iktibar dari
masalah ini agar ianya tidak berulang lagi dan dapat mematangkan
perhubungan anda. Sekiranya perkara yang sama berlaku, ambil jalan yang
betul untuk selesaikan masalah tersebut supaya ianya tidak menjadi parah
dan semakin teruk.
Apabila ‘roda’ kembali ke atas
Saya tertarik untuk berkongsikan sebuah kata-kata yang dipetik dari filem Syurga Cinta,
“Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari,
Dia datangkan petir dan kilat,
Kita tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari,
Rupa-rupanya Allah memberi kita pelangi…”
Tidak semestinya kesulitan yang dialami
itu akan kekal selama-lamanya. Sudah semestinya kita akan berjumpa
dengan kesenangan dan kegembiraan.
Tetapi apabila anda berjaya keluar dari
situasi ‘roda’ di bawah, jangan mudah lupa diri. Beringatlah ketika anda
sedang bersedih, ketika anda berada di bawah. Jangan terlalu gembira
dengan kesenangan yang diperoleh. Bersyukurlah kepada Allah swt kerana
mengeluarkan anda daripada kesulitan yang dilalui.
Anda perlu ingat, roda sentiasa
berputar. Akan tiba masanya juga, anda akan kembali semula ke bawah.
Pada waktu itu, kegembiraan yang ada tidak bermakna lagi.
Oleh itu, walau di mana keadaan pun anda
berada, beringatlah dan bersyukurlah kepada Allah swt. Setiap yang
berlaku ada hikmahnya. Gunakanlah peluang yang ada dengan sebaiknya.
Mudah-mudahan perhubungan itu akan kekal dan bahagia selama-lamanya.
InsyaAllah…
![]()
