
Kira-kira 62 tahun lalu, lahir seorang anak Melayu daripada sebuah keluarga yang tidak pernah tahu apa itu mikro atau makroekonomi, apa itu saham, apa itu dasar fiskal dan sebagainya.
Namun anak Melayu yang bernama Mohd. Salleh Abdul Majid itu semakin hari semakin menunjukkan potensi dan kepintarannya khususnya dalam bidang pelajaran sehinggalah berjaya memperoleh Master of Business Administration dari Northern Illinois University, Amerika Syarikat ketika usianya baru mencecah 22 tahun.
Di atas kebolehannya dalam memahami dan menyelesaikan isu ekonomi dan kewangan, Salleh terpilih sebagai pensyarah di Sekolah Perniagaan dan Pengurusan, Institut Teknologi Mara.
Dari situ beliau tidak lagi menoleh ke belakang…tidak hanya di sektor awam, Salleh juga menabur baktinya dalam sektor swasta sehingga terpilih sebagai Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).
Beliau cukup diingati sebagai seorang yang tidak lokek untuk memberikan pandangan terhadap isu-isu ekonomi terkini.
Dunia kewartawanan sendiri, pastinya kehilangan seorang tokoh ekonomi yang sentiasa memastikan dirinya tidak ketinggalan dalam perkembangan ekonomi semasa walaupun telah meninggalkan dunia pasaran saham hampir sembilan tahun yang lalu.
Menurut Bernama, Salleh kerap ditemu bual media massa apabila melibatkan isu-isu ekonomi dan kewangan seperti Belanjawan tahunan, pasaran saham dan sebagainya.
Ahli Kehormat Persatuan Bahasa, Salleh juga turut mempunyai kolumnya sendiri di beberapa akhbar tempatan bagi melontarkan pandangan beliau berkaitan isu-isu ekonomi terkini.
Selain Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarham adalah antara tokoh ekonomi yang sangat menggalakkan pembelian emas sebagai pelaburan alternatif.
“Tidak ada negara yang mata wangnya tidak tertakluk kepada turun naik nilai emas, termasuklah negara kita semasa krisis 97/98 yang mana mata wang kita dikatakan menjadi bahan spekulator dan pernah jatuh ke paras serendah RM4.50 untuk satu dolar Amerika. Mata wang dunia tidak lagi disokong oleh emas dan negara seperti Amerika Syarikat didapati boleh mengeluarkan seberapa banyak wang sesuka hati mereka,” katanya dalam salah satu ruangannya.
Agak digeruni wartawan, beliau yang lebih dikenali sebagai “Salleh Majid” sentiasa mahukan perkongsian pandangan secara dua hala di mana wartawan harus bersedia untuk disoal semula oleh beliau.
Lebih gemar berinteraksi secara tidak formal ketika ditemu bual, kadangkala beliau akan bertanya semula kepada wartawan dengan soalan: “Kau faham tak apa yang aku cakap ni.”
Ketika di BSKL dulu, Salleh juga dikenali sebagai seorang ‘bikers’ kerana lebih selesa menunggang motorsikal berkuasa besar jika ke pejabat
Beliau bersama rakan-rakan di sebuah syarikat konsultasi kewangan dikatakan ketika ini sedang mengusahakan satu cadangan untuk diusulkan kepada kerajaan bagi mewujudkan sebuah Bursa Saham Islam di negara ini.
Namun semuanya kini tinggal kenangan.
Beliau pagi ini menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat barah rektum dan kegagalan buah pinggang kira-kira 10.20 pagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Sesungguhnya negara kehilangan seorang genius ekonomi Melayu yang tiada galang gantinya.
Al-Fatihah buat Mohd. Salleh Abdul Majid@ Salleh Majid. –
