January 17, 2012

Yasin Brothers Tidak Nasyid Lagi? Berubah ke Genre Lain...

 Yasin Brothers Tidak Nasyid Lagi?
Bekas anggota kumpulan nasyid Brothers, Yasin kini dikatakan sudah tidak menyanyikan lagi lagu-lagu nasyid, sebaliknya dia kini tampil dengan genre muzik baru yang dikenali sebagai Global Music baru-baru ini.

Menurut Yasin atau nama sebenarnya Yasin Sulaiman, dia kini sedang mencuba mengetengahkan konsep muzik Global Music bagi mengembangkan lagi kerjayanya sebagai komposer dan penyanyi terutamanya di peringkat antarabangsa pada masa depan.

“Saya telah terbabit dalam bidang muzik terutamanya irama nasyid sejak tahun 1997 bersama Brothers. Sepanjang tempoh itu saya telah melalui pelbagai evolusi bukan sahaja daripada muzik tetapi juga imej yang sentiasa berubah-ubah.
“Contohnya, dulu saya tampil dengan imej nasyid dengan berkopiah dan kemudian berambut panjang dan sekarang ini kembali berambut pendek. Daripada segi muzik pula saya telah melakukan banyak perubahan seperti berduet dengan kumpulan Too Phat dalam lagu hip hop berjudul Alhamdulillah.

“Terbaru, saya juga berduet dengan Amy Search dalam lagu rock berjudul Takbir Cinta. Selepas ini saya akan menggunakan konsep muzik Global Music dalam album single terbaru saya yang akan berada di pasaran tidak lama lagi,” katanya sewaktu ditemui di sini baru-baru ini.

Buat masa ini, Yasin sedang sibuk dalam rakaman rancangan Dikir Zikir terbitan Farihin Abdul Fatah di mana dia menyanyikan banyak lagu popularnya seperti Aishah, Kerna Dia, Salsabila dan Wisini yang akan disiarkan melalui saluran televisyen AlHijrah tidak lama lagi.