Penyanyi dari Singapura, Aliff Aziz menjelaskan keintimannya dengan pelakon Anne Ngasri sejak sebulan lalu bertitik-tolak daripada sikap prihatin dan mengambil berat aktres itu terhadapnya yang kini menetap sendirian di negara ini.
Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff
Aziz, 21, berkata sejak dia berhijrah ke Malaysia bagi mengembangkan
kerjaya nyanyian, Anne banyak membantu selain menjadi teman bercerita
ketika mengisi kesunyian.
“Saya akui rapat dengannya (Anne). Dia
sangat baik dan mengambil berat terhadap saya. Sejak pindah ke Kuala
Lumpur, saya tinggal bersendirian. Selain pekerja di Sony Music, Anne
dan keluarganya yang mengisi kesunyian dan membantu saya menyesuaikan diri dengan kehidupan baru di sini.
“Sikapnya yang banyak membantu dan
memberi dorongan kepada saya untuk fokus dan bekerja keras menyebabkan
saya selesa,” katanya baru-baru ini.
Ketika ditanya mengenai Anne yang
berstatus ibu tunggal itu Aliff berkata, perkara tersebut bukan satu isu
yang boleh menghalang mereka daripada berkawan.
“Sejak dulu saya mudah tertarik pada
wanita yang lebih berusia dan matang. Saya masih muda dan memerlukan
teman yang bukan sahaja mengambil berat malah turut membimbing saya
menjadi lelaki yang lebih baik.
“Dia seorang wanita yang positif dan
saya belajar banyak perkara daripadanya sejak kami rapat. Saya boleh
merasai keserasian itu setiap kali kami bersama. Keluarga kami juga
tiada sebarang halangan,” katanya.
Diusik mengenai reaksinya berhubung
dakwaan orang ramai yang kerap melihat mereka keluar berdua-duaan, Aliff
berkata dia tidak kisah dilihat bersama kerana ia adalah lumrah
kehidupan selebriti yang sering menjadi perhatian umum.
“Sebagai selebriti sudah tentu orang
akan kenal pada kita, jadi tidak perlulah saya hendak menafikan atau
menyorok kerana ia bukan perkara yang buruk.
“Ia bukan halangan untuk kami keluar
makan atau menonton wayang bersama seperti yang didakwa. Saya tidak
melihat persahabatan kami sebagai satu masalah atau isu pun,” katanya.
Sempat diusik mengenai perkembangan kes
kontroversi antara dia dan pelakon Zarina Anjoulie yang tercetus
baru-baru ini, Aliff menegaskan dia tidak akan memberikan sebarang
penjelasan berhubung isu tersebut buat masa ini dan hanya akan tampil
menjawab kontroversi itu pada waktu paling sesuai kelak.
“Orang boleh cakap apa sahaja tentang
kes itu tetapi saya tidak akan memberi penjelasan pada waktu ini.
Syarikat rakaman Sony Music sedang meneliti kes ini dan apabila sampai
waktu saya akan umumkan kepada semua.
“Namun, itu tidak bermakna saya seorang
yang pengecut atau mahu lari daripada masalah. Saya lelaki yang tidak
akan lari daripada masalah yang melibatkan saya. Cuma kena tunggu waktu
yang sesuai,” katanya.
![]()

