TANJUNG KARANG: Misteri
bau busuk yang dihidu ibu bapa ketika mahu mengambil anak mereka di
Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Yik Khwan, di sini,
semalam, terbongkar dengan penemuan mayat seorang wanita dalam keadaan
menggelembung, di Sungai Kampung Bagan Pasir, bersebelahan sekolah itu
tengah hari semalam.
Pengawal keselamatan
sekolah berkenaan, Shahrul Nizam Mohd Pamuji, 25, berkata dia menerima
aduan ibu bapa pelajar sekolah itu mengenai bau busuk dari arah sungai,
jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, dia dan beberapa ibu bapa pergi ke jambatan berhampiran sekolah itu sebelum terlihat sesuatu terapung di sungai berkenaan.
“Kami nampak sesuatu
terapung seperti patung di sungai itu. Walaupun kedudukan kami ketika
itu kira-kira 50 meter, namun bau busuk amat menusuk.
“Selepas diamati benda yang terapung itu bukan patung, tetapi mayat seorang wanita berbaju tidur.
“Saya menghubungi polis sebelum mayat wanita berusia 30-an itu diangkat pada jam 1.15 tengah hari dengan bantuan bomba,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Taib Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat sebagai mati mengejut.