Penderitaan pesakit
barah tulang, Mohd. Zulhafiz Abdul Ghani, 21, berakhir apabila dia
menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8.55 malam di Hospital Tengku
Ampuan Afzan (HTAA) di sini semalam.
Anak bongsu daripada lima adik- beradik
itu meninggal dunia di sisi semua ahli keluarganya selepas dua minggu
mendapatkan rawatan di HTAA.
Menurut bapa Allahyarham, Abdul Ghani
Mohamed, 64, seminggu lalu, ketumbuhan seberat 20 kilogram di bahu kiri
anaknya tiba-tiba pecah dengan mengeluarkan darah dan cecair.
Kira-kira segayung cecair yang keluar dari ketumbuhan tersebut dengan meninggalkan lubang sebesar bola ping pong.
“Selepas kejadian itu, saya lihat penderitaan arwah semakin berkurangan, malah pergerakannya lebih mudah kerana ketumbuhan tersebut semakin mengecil.
”Namun siapa sangka arwah akhirnya pergi
meninggalkan kami semua,” katanya ketika ditemui selepas pengkebumian
Mohd. Zulhafiz di Tanah Perkuburan Perkampungan Felda Bukit Goh dekat
sini hari ini.
Jenazah dikebumikan pada pukul 11 pagi
selepas disembahyangkan di rumah keluarga Allahyarham dengan dihadiri
kira-kira 100 orang.
Penderitaan Mohd. Zulhafiz sejak enam bulan lalu mendapat perhatian ramai apabila kisahnya mula disiarkan Utusan Malaysia pada 31 Januari lalu.
Susulan itu, pelbagai pihak tampil
menghulurkan bantuan antaranya Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul
Manan Ismail, Majlis Belia Pahang dan Yayasan Felda.
Ketumbuhan misteri seberat kira-kira 20
kilogram itu mula dikesan pada Jun tahun lalu dan ia semakin membesar di
bahagian bahu kirinya sehingga menyebabkan dia hanya mampu terlantar
kesakitan.
Menurut Abdul Ghani, doktor memaklumkan
kematian Allahyarham adalah disebabkan jangkitan kuman di paru-paru dan
beberapa organ dalaman ekoran penyakit yang dialaminya.
“Sepanjang arwah terlantar di hospital, apa sahaja yang diminta kami akan tunaikan seperti beberapa makanan kegemarannya.
“Saya reda dengan pemergiannya walaupun
menyimpan niat sekiranya arwah sembuh seperti sedia kala, saya mahu
mengadakan kenduri dengan menyembelih seekor lembu,” jelasnya.
Sementara itu, ibunya, Safiah Lebai
Yahya, 58, berkata, sebelum meninggal dunia, anaknya sempat memohon
kebenaran untuk ‘balik’ kerana tidak tahan dengan kesengsaraan yang
dihadapinya.
![]()

