VALENTINE’S Day atau ‘Hari Kekasih’
VALENTINE’S
Day atau ‘Hari Kekasih’ sebagaimana yang difahami ialah hari di mana
dua orang yang berkasih sayang atau sepasang kekasih yang bercinta
meraikan percintaan dan kasih sayang. Budaya ini disambut setiap tahun
pada 14 Februari.
Tidak dinafikan manusia suka dikasihi dan
mengasihi di antara satu sama lain. Golongan remaja adalah golongan yang
sering kali dikaitkan dengan soal percintaan. Cuma lumrahnya mereka
mudah terikut-ikut serta taksub dengan pengaruh yang dibawa oleh
orang-orang barat.
Ruangan Irsyad hukum kali ini akan membicarakan sama ada Valentine’s Day munasabah disambut sebagai hari kekasih atau tidak.
Mengikut beberapa sumber, Valentine adalah nama bagi seorang paderi
Kristian yang giat menyebarkan agama tersebut di Rom ketika pemerintahan
Raja Rom yang bernama Claudius II. Pada masa pemerintahannya, Claudius
II telah memenjarakan orang-orang Kristian kerana mengamalkan agama yang
bertentangan dengan agamanya. Oleh kerana Valentine seorang penyebar
agama Kristian, beliau juga telah ditangkap dan diseksa di dalam
penjara.
Walaupun berada dalam penjara, Valentine tetap
berusaha mengajar dan menyebarkan agama tersebut di kalangan
banduan-banduan penjara di samping membantu tawanan-tawanan penjara
melepaskan diri dari penjara. Kegiatan ini telah diketahui oleh Raja Rom
dan beliau diseksa dan akhirnya dihukum bunuh pada 14 Februari.
Orang-orang Kristian menganggap bahawa Valentine merupakan seorang yang
mulia kerana sanggup berkorban dan mati demi kasih sayangnya terhadap
agama Kristian dan penganut-penganutnya. Beliau disamakan dengan Jesus
yang kononnya mati kerana menebus dosa yang dilakukan oleh kaumnya.
Valentine bagi penganut agama Kristian adalah lambang kasih sayang
sejati di antara seorang hamba dengan tuhannya dan dengan sesama
manusia. Dikatakan juga bahawa ketika di dalam penjara, beliau telah
jatuh cinta dengan anak salah seorang pegawai penjara dan di akhir
hayatnya sebelum dibunuh, beliau sempat menulis sepucuk surat cinta
kepada gadis tersebut yang bertandatangan ‘From your Valentine’
(Daripada Valentinemu).
Maka orang-orang Kristian mengambil
sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi
memperingati hari kematian paderi mereka Valentine.
Berdasarkan
penerangan di atas, adalah jelas bahawa tidak ada istilah Hari Kekasih
atau Valentine’s Day dalam Islam. Hakikatnya, adalah tidak boleh
orang-orang Islam menyertainya kerana hari tersebut adalah hari perayaan
bagi orang-orang Kristian.
Memang Islam sangat menggalakkan
umatnya supaya berkasih sayang di antara satu sama lain akan tetapi
untuk meluahkan kasih sayang di antara seorang lelaki dan perempuan
perlu melalui saluran yang dibenarkan oleh syarak bukan yang
menggalakkan kepada perkara-perkara yang mendorong atau merangsang
kepada yang dilarang dan maksiat.
Realitinya, Islam adalah
agama yang praktikal, bukan mengongkong. Islam agama yang mengatur
kehidupan dengan lebih sempurna. Islam tidak pernah menyekat hubungan
kasih sayang di antara umatnya.
