
Pelakon
dan penyanyi remaja Fiffy Natasya (Fify) menjelaskan dakwaan yang
mengatakan dia membuka tudung semata-mata untuk menceburi bidang seni
berpunca daripada salah faham segelintir pihak yang tidak mengetahui
perkara sebenar.
Fify atau nama sebenarnya Fiffy Natasya
Suhaimi, 19, berkata dakwaan itu timbul kerana pada usia lapan tahun,
dia pernah bertudung ketika menyertai kumpulan Wardah dan mengeluarkan
tiga buah album kerohanian dan doa.
“Hakikatnya, dalam kehidupan sebenar, saya memang tidak bertudung. Cuma kebetulan ketika zaman kanak-kanak saya pernah memakai tudung kerana terlibat dalam projek lagu-lagu kerohanian.
“Saya tidak perlu hipokrit dan mengakui
saya tidak bertudung. Jadi dakwaan yang mengatakan saya membuka tudung
semata-mata untuk menceburi bidang seni adalah tidak betul,” katanya
ketika ditemui di Menara Star, di sini, Isnin.
Pelakon yang semakin dikenali selepas membintangi drama popular Vanilla Coklat di
TV3 ini berkata, dia tidak mahu merunsingkan fikirannya dengan apa pun
pandangan atau kritikan orang ramai kerana dia sentiasa peka terhadap
gerak-gerinya.
“Saya tidak kisah apa juga orang hendak
cakap tentang saya kerana saya tahu apa yang dilakukan sentiasa berada
pada landasan yang betul serta dipantau oleh ibu bapa.
“Tidak bertudung bukan bermakna saya
berkelakuan liar atau nakal. Saya jarang keluar bersiar-siar kecuali
dengan keluarga jadi rasanya tidak timbul isu yang boleh mengaitkan saya
dengan kontroversi atau perkara-perkara negatif,” katanya.
Gadis yang dikenali dengan lagu Kawaii sebelum
ini berkata selepas hampir 10 tahun menceburi bidang seni, dia masih
berusaha untuk mengukuhkan namanya sebagai bakat pelapis dunia hiburan
tanah air.
“Kalau diikutkan, saya sudah mula berlakon pada usia 10 tahun lagi dalam filem Cinta Kolestrol dan baru kebelakangan ini nama saya semakin dikenali.
“Tidak dinafikan saya menerima tawaran
lakonan yang berterusan tetapi kalau boleh, pada tahun ini saya mahu
lebih dikenali dan berjaya,” kata pelajar jurusan Farmasi di Kolej Segi
ini.
Drama terbaru lakonannya berjudul Pulau Pandan Jauh Ke bersama Aliff Satar kini disiarkan di Astro Warna (saluran 132), selain Tangisan Bulan Madu 2 (RTM) dan Mak Lang Datang Kompang Bergendang (TV3).
Fify juga baru sahaja menamatkan penggambaran dua buah filem Strawberi Cinta dan Left Wings yang dijangka ditayangkan pada 2013.
![]()
