March 20, 2012

Jaring Umum Perkhidmatan Lindungi Serangan DDoS

Jaring Umum Perkhidmatan Lindungi Serangan DDoS

 Pembekal perkhidmatan internet, Jaring Communications Sdn. Bhd. (Jaring) hari ini mengumumkan perkhidmatan terbaru syarikat itu iaitu Jaring DDoS Armour yang direka khas bagi melindungi daripada serangan Distributed-Denial-of-Service (DDoS).
Ketua Pegawai Eksekutif Jaring, Nik Abdul Aziz Nik Yaacob berkata, Jaring DDoS Armour merupakan satu perkhidmatan yang dapat memantau, mengesan dan secara automatik mengurangkan mana-mana serangan DDoS terhadap rangkaian pelanggannya.
“Jaring DDoS Armour diuruskan pasukan teknikal yang sangat berpengalaman untuk memberi perlindungan segera terhadap potensi ancaman kepada perniagaan dan rangkaian pelanggan-pelanggan kami.

“Perkhidmatan ini menggunakan teknik hibrid maju untuk menentukan serangan yang sah dalam setiap paket yang tiba di rangkaian. Teknologi ini sedang digunakan secara meluas kebanyakan syarikat telekomunikasi dan laman web berprofil tinggi di seluruh dunia,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Nik Abdul Aziz berkata, Jaring sebenarnya telah menggunakan teknologi pengurangan DDoS sejak dua tahun lalu untuk melindungi rangkaian teras syarikat itu dan berdasarkan pengalaman serta rekod maka perkhidmatan itu dilanjutkan kepada pelanggan.
Justeru, katanya, Jaring menggesa syarikat terutama berkenaan kewangan, agensi kerajaan serta laman web berprofil tinggi supaya memanfaatkan perkhidmatan Jaring DDoS Armour untuk mempertahankan daripada serangan DDoS yang boleh menjejaskan kesinambungan perkhidmatan dalam talian dan mengakibatkan kehilangan hasil dan imej jenama.

Sementara itu, katanya, DDoS merujuk kepada serangan atau percubaan yang dilancarkan oleh pihak tertentu dengan tujuan mengisi muatan dan mengatasi sumber-sumber komputer atau rangkaian kepada satu titik yang menyebabkan perkhidmatan tersebut hilang.
Serangan DDoS akan menyebabkan perkhidmatan tergendala dan kerugian besar termasuk kerugian kewangan jangka pendek, kerugian reputasi jangka panjang dan juga ketidakupayaan perniagaan yang kekal terutama melibatkan perniagaan berteraskan fungsi penjanaan hasil.

Pada 14 Februari lalu media malaporkan laman web pengendali pasaran saham, Bursa Malaysia Bhd. turut menjadi sasaran gangguan perkhidmatan penafian yang menyeluruh di mana laman itu sesak dengan lebihan trafik dari pelbagai sumber dipercayai sebagai DDoS menyebabkan para pengguna yang memasuki laman webnya mengalami hubungan yang terhenti-henti..