
“Ana khairun minhu”, saya lebih baik
dari dia. Itulah kata-kata iblis ketika Tuhan menanyakan alasan mengapa
ia tidak mahu melaksanakan perintah sujud kepada Adam AS. Iblis
menambah, “khalaqtani min nar wa khalaqtahu min tin”, Engkau menciptakan
aku dari api dan menciptakan dia (hanya) dari tanah. (Surah al-A’raf
12). Itulah kesombongan iblis, merasa diri lebih mulia kerana asal
kejadian.
Kesombongan iblis rupanya adalah sebuah
penyakit yang juga boleh menular kepada manusia. Bahkan, iblis secara
aktif menularkannya kepada anak cucu Adam. Pernyataan dan sikap ana
khairun minhu sekarang bahkan lebih banyak digunakan oleh manusia.
Jika iblis merasa diri lebih baik kerana
asal penciptaannya, manusia juga dijangkiti kesombongan kerana
keturunan seperti itu. Itu sebabnya Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita
dengan sabda beliau, “Semua kalian berasal dari Adam dan Adam
(diciptakan) dari tanah. Tidak ada kelebihan orang Arab dari yang bukan
Arab, kecuali kerana takwa, “.
Sabda Nabi tersebut hendak menyedarkan
kita agar tidak menjadi angkuh kerana keturunan. Kemuliaan hanya boleh
dicapai dengan takwa. “Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di
sisi Allah ialah yang paling bertakwa,” (QS al-Hujurat: 13).
Lebih mencengangkan lagi, ternyata
manusia mengembangkan prinsip ana khairun minhu hampir dalam semua
lapangan kehidupan. Dengan prinsip itu, manusia kemudian saling bersaing
tidak sihat, saling membenci, saling bermusuhan, saling menjatuhkan,
bahkan ada yang sampai saling membunuh.
Ketika manusia memperebutkan sebuah
jabatan, misalnya, masing-masing menggunakan jurus ana khairun minhu
itu. Pelbagai teknik digunakan untuk mempengaruhi pendapat orang bahawa
dialah yang lebih baik. Oleh kerana itu, dia lebih layak untuk dipilih.
Sepanduk, pelekat, iklan dan pelbagai macam teknik komunikasi massa
digunakan untuk menyatakan ana khairun minhu, saya lebih baik dari dia.
Sebenarnya, untuk meraih prestasi,
manusia boleh saja, bahkan dianjurkan untuk menjadi yang terbaik,
menjadi the best. Manusia perlu menunjukkan prestasi yang terbaik atau
produk kerja terbaik. Tapi, berusaha menjadi yang terbaik tidak sama
dengan merasa yang paling baik. Yang pertama adalah sebuah usaha
positif, yang kedua adalah sebuah kesombongan.
Lebih berbahaya lagi ketika kesombongan
ana khairun minhu itu digunakan oleh seorang penguasa. Ia tidak akan
suka dikritik. Ia selalu ingin dipuja-puja. Ia memudahkan hidupnya
dengan pelbagai kemewahan. Ia tidak mahu melihat ada orang lain yang
lebih unggul yang boleh menggantikan kedudukannya. Ia lalu menggunakan
pelbagai cara dan muslihat untuk mempertahankan dirinya.
Demikian sedikit gambaran betapa
kesombongan Iblis telah merasuki manusia sehingga menggerus nilai-nilai
kemanusiaan. Kesan negatifnya semakin meluas dan merosakkan jika tidak
segera disedari. Kerana itu, kita harus sedar dan menyelamatkan diri
dari proses dehumanisasi akibat penyakit iblis tersebut. Wallahu a’lam
Sumber: Republika Online – Oleh: Dr Ir Fuad Rumi MS