March 30, 2012

Liyana, Fathuddin nikah 24 Januari 2013


PASANGAN Fathuddin dan Liyana memilih tarikh 24 Januari 2013 untuk majlis akad nikah.


LIMA dulang hantaran daripada pihak arjuna berbalas tujuh daripada pihak gadis. Penuh gemilang majlis pertunangan pelakon dan penyanyi, Liyana Jasmay, 24, dan pasangannya yang merupakan seorang ahli perniagaan, Fathuddin Mazlan, 28, yang berlangsung di kediamannya di Tropika Kemensah, Ulu Klang, Selangor malam kelmarin.

Tali pertunangan pasangan merpati dua sejoli ini diikat sehingga tarikh 24 Januari tahun depan selepas pelantun lagu Cinta Bersatu itu menamatkan pengajian di Akademi New York, Amerika Syarikat dalam bidang lakonan dan pengarahan.
Liyana yang turut menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 24 pada malam kelmarin mengenakan sepasang busana berwarna putih rekaan Rizman Ruzaini dan ditatarias oleh Tiar Zainal.

Antara 200 tetamu yang hadir pada malam kelmarin termasuk pasangan Vanidah Imran dan Rashidi Ishak, Lisa dan Yusri serta Scha dan Awal.
Ikuti temu ramah bersama Liyana dan Fathuddin yang ditemui ketika majlis pertunangan pasangan itu baru-baru ini.
Kosmo!: Fathuddin, apa yang membuatkan anda terpikat pada Liyana?
FATHUDDIN: Dia sentiasa membuatkan saya gembira setiap kali bersamanya. Perangainya yang ceria dan manja membuatkan saya semakin tertarik. Dia seorang yang ringkas dan senang dibawa berbincang.
Tempoh perkenalan yang singkat dan anda berani untuk mengadakan majlis pertunangan ini, kenapa agaknya?
Kami merasakan kami serasi. Pertama kali berjumpa dengannya terasa seperti sudah lama kenal.

Pada awal bulan Julai nanti Liyana akan melanjutkan pelajaran ke New York, Amerika Syarikat. Bagaimana perhubungan jarak jauh kalian?
Selepas saya tahu ada orang akan menjaganya di sana saya tak perlu risau. Kami berkomunikasi dengan cara tersendiri. Lagipun, sebelum ini kami bukan selalu berjumpa. Saya percaya pada kesetiaan dan doa keluarga masing-masing.
Bersediakah untuk menerima gosip-gosip selepas berkahwin?
Kalau sudah sayang, Insya-Allah saya boleh menerima dan menyokong perkembangan seni Liyana.

Kosmo!: Liyana, sudah selamat menjadi tunangan orang mungkin boleh kongsikan perasaan anda sekarang?
LIYANA: Rasa seperti permulaan sebuah perhubungan dan saya sangat gembira.
Sudi sekiranya anda ceritakan momen perkenalan pertama kalian?

Kami mula berkomunikasi melalui telefon sebelum sambutan Tahun Baru lalu. Kami diperkenalkan melalui kawan. Dia memulakan langkah menghantar SMS berbunyi, “hi jiran”. Mesej pertamanya itu agak comel dan saya sendiri tersenyum saat membacanya. Daripada situ, kami kerap bermesej hinggalah pada pertemuan sulung kami awal Januari. Ketika pertemuan sulung itu, saya ditemani teman baik saya bernama Wan. Perasaan bercampur baur termasuk malu berpanjangan hingga bersua dengannya. Lucunya, saya cakap dengannya pun sambil menutup muka. Tetapi dia pula sebaliknya. Dia sangat tenang dan cuba membuatkan saya selesa. Malu punya pasal, saya sampai nak balik cepat.

Apa istimewanya Fathuddin di mata anda?
Dia terlalu istimewa pada pandangan mata saya. Sukar untuk saya huraikan dengan kata-kata. Mungkin terlalu klise jika mahu dirungkaikan satu persatu. Tetapi apa yang boleh saya katakan, dia menerima saya seadanya dan paling utama, dia menyayangi ibu bapa saya.
Hadiah pertama yang diberikan Fathuddin kepada anda?
Dia membeli saya satu bakul berisi mawar merah dengan seleksi pelbagai coklat kegemaran.
Memilih tarikh 24 Januari 2013 untuk majlis pernikahan, ada sebarang signifikan dengan tarikh itu?

Tiada apa-apa makna tersirat pun. Asalnya kami memilih tarikh 22 Januari sempena sambutan setahun perkenalan kami, tapi memandangkan tarikh itu jatuh pada hari Isnin jadi kami tunda ke 24 Januari. Bulan Januari sangat bermakna bagi kami.
Impian majlis perkahwinan Liyana?

Ringkas! Saya hanya mahukan tetamu yang hadir gembira dan boleh mengetahui bagaimana hubungan cinta kami. Seiring dengan peningkatan usia, saya cuma dambakan perkahwinan yang penuh dengan rasa cinta dan kasih sayang.
Sudi menerima tajaan untuk majlis perkahwinan nanti?
Terpulang jika ada yang sudi menaja. Tapi saya memang inginkan satu majlis berinai yang hanya boleh dihadiri oleh wanita sahaja.
Perkembangan terkini Liyana?

30 Mac (hari ini) saya akan melancarkan video muzik lagu Cinta Bersatu yang diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar. Selain itu, lagu yang dijadikan tema telefilem Paris Masuk Kampung ini turut akan dilancarkan di portal hiburan popular Gua.com, Murai.com, selain blog Budiey.com, program bual bicara Malaysia Hari Ini (TV3), tayangan perdana di Astro Ria dan TV1.

Selain itu, saya tengah melunaskan baki penggambaran drama bersiri di TV3 untuk slot Lestary, 3 Janji serta akan terlibat dengan penggambaran filem. Insya-Allah tahun depan saya akan lebih banyak terlibat dengan filem pendek selepas tamat pengajian di Akademi New York.

Selepas itu, saya akan ke lokasi penggambaran untuk drama Mana Juwita bagi siaran Astro. Pada masa yang sama, saya juga menanti tayangan filem Papadom 2.