Ketika syarikat teknologi tinggi
terkemuka dunia, Apple, memasarkan gajet edisi terbaru iPad 3, ia
bagaikan ‘goreng pisang panas’ apabila begitu ramai penggemar teknologi
skrin sentuh (touchscreen) berbaris untuk menjadi antara yang pertama
memilikinya.
Begitupun, ramai yang pulang dengan
perasaan hampa apabila gajet tersebut kehabisan stok dan mereka terpaksa
menunggu stok baru untuk tiba di negara masing-masing.
Namun belum pun sampai sebulan ia
dipasarkan, media antarabangsa, dailymail.co.uk melaporkan bahawa para
pengguna iPad 3 sudah mula merungut mengenainya prestasinya yang
dikatakan cepat ‘over heat’.
Menurut forum di laman web rasmi
syarikat Apple sendiri, para pemilik iPad 3 mendakwa bahawa gajet
tersebut cepat ‘panas’ berbanding edisi terdahulu dan agak kurang selesa
untuk digunakan.
Produk terbaru Apple tersebut dikatakan
mempunyai masalah cepat panas di bahagian bawah sebelah kirinya dan ada
juga yang mendakwa ia melibatkan hampir seluruh bahagian kirinya.
Seorang pemilik iPad 3 yang hanya
dikenali sebagai Faaty menyatakan bahawa dia suka pada skrin dan
kelajuan gajet tersebut, namun berpendapat bahawa ada yang tidak kena
pada gajet barunya itu.
“Ia agak panas selepas digunakan
selama 30 minit. Ia tidak pernah berlaku pada iPad 2 saya. Adakah anda
fikir ia tidak merbahaya atau ….?” katanya di forum tersebut.
“Kepanasan (iPad 3) milik saya
pula bertumpu di bahagian bawah sebelah kiri, sebelah kiri lebih panas
dari bahagian di sebelah kanan,” kata seorang lagi ahli forum yang
menggunakan nama samaran Rawwave.
“(Ipad 3) kepunyaan saya pula
mula panas selepas digunakan selama 10 minit dan selepas digunakan
selama 25 minit ia agak panas untuk disentuh (tidak cukup panas untuk
membakar, namun ia lebih panas dari yang sepatutnya),” kata znz212 pula.
Bagaimanapun, sebahagian dari ahli forum
tersebut menjelaskan bahawa mereka iPad 3 mereka telah digantikan
dengan yang baru apabila membawa iPad 3 mereka yang bermasalah ke kedai
wakil rasmi Apple dan mendapati ia tidak bermasalah lagi.
iPad 3 telah dilancarkan pada awal bulan
ini dan mendapat pujian ramai tentang spesifikasi terbarunya yang
memiliki 3.1 juta pixel pada skrin 9.7 inci dan merupakan paparan paling
jelas bagi semua kategori tablet terkini.
Apple di laman rasmi syarikat itu
memaklumkan bahawa iPad perlu kekal di bawah 35 darjah selsius bagi suhu
operasi yang paling optimum.
![]()
