
Kumpulan alternatif rock terkemuka dari Ireland, The Cranberries tidak menghampakan apabila berjaya menghiburkan kira-kira 8,000 peminat pada konsert sulung mereka di negara ini di Stadium Negara di sini semalam.
Pada Konsert The Cranberries Live In
Malaysia 2012 anjuran The Wonderland dan Sevent Media itu, kumpulan
empat anngota terbabit mengadakan persembahan yang bermula dari pukul
8.40 malam hingga 10.30 malam dengan menyanyikan 22 buah lagu.
Menurut penyanyi The Cranberries,
Dolores O’Riodan, dia berbesar hati kerana dapat mengadakan konsert
pertama mereka di Malaysia dan terharu dengan sambutan para peminat di
sini selepas kumpulan itu ditubuhkan sejak kira-kira 20 yang lalu.
“Sambutan para peminat di sini sungguh
hangat sekali walaupun cuacanya tidak sehangat di Ireland. Terima kasih
kerana sokongan anda kerana selepas sekian lama The Cranberries
ditubuhkan baru sekarang kami berpeluang mengadakan konsert di sini,”
katanya pada konsert itu.
Kemuncak konsert itu sewaktu The
Cranberries menyanyikan lagu ke-18 mereka pada malam itu berjudul Zombie
yang merupakan lagu paling popular mereka apabila kesemua penonton
melambai-lambaikan tangan sambil menyanyikan lagu itu bersama-sama.
Selain lagu itu, mereka turut
menyanyikan lagu-lagu popular mereka seperti Just My Imagination,
Salvation, Promises, Ode To My Family, Animal Instinct, Raining In My
Heart, Ridiculous Thoughts, Can’t Be With You, Free To Decide dan When
You’re Gone.
“Juga terimalah lagu berjudul Losing My
Mind di mana lagu baru ini pertama kali kami persembahkannya di atas
pentas dan ia adalah khas untuk anda semua,” ujar Dolores pada konsert
yang mengenakan tiket berharga RM110 hingga RM320 itu.