April 12, 2012

Kaki Metal Tidak Gentar Bersih 3.0

 Kaki Metal Tidak Gentar Bersih 3.0
Penganjur Konsert KL Metal Camp 5, Thy Syndicate dan Nebiula Production tidak gentar ataupun tergugat jika pakatan pembangkang mahu menganjurkan Perhimpunan Bersih 3.0 di sekitar ibu negara pada tarikh konsert itu diadakan 29 April ini pukul 3 petang.
Menurut wakil Thy Syndicate, Amir Hamzah Arshad, biarpun ada ura-ura mengatakan Perhimpunan Bersih 3.0 akan diadakan pada 28 April ini tetapi pihaknya yakin ia tidak akan melunturkan semangat para peminat muzik metal untuk menyaksikan konsert tersebut.
“Konsert KL Metal Camp 5 akan diadakan pada 29 April ini di Stadium Chin Woo berhampiran Stadium Negara di mana kalau betul perhimpunan itu mahu diadakan pada 28 atau 29 April ini di sekitar ibu negara lokasinya agak jauh dari tempat konsert ini diadakan,” katanya kelmarin.

Pada sidang akhbar Konsert KL Metal Camp 5 yang diadakan di Solaris Dutamas di sini itu, Amir yang juga merupakan peguambela kes dadah anak Azean Irdawaty iaitu Benjy turut tidak bimbang kerana aspek keselamatan termasuk permit daripada pihak polis juga sudah diperolehinya.
Konsert yang mengenakan tiket berharga RM75 dan RM90 itu merupakan yang terbesar dianjurkan oleh Thy Syndicate dan Nebiula Production setakat ini di mana edisi kelima itu telah menjemput kumpulan hardcore legenda dari Amerika Syarikat (AS), D.R.I. beraksi pada konsert itu.

Turut mengadakan persembahan ialah sebuah lagi kumpulan death metal dari AS iaitu Hate Eternal serta enam kumpulan underground tempatan iaitu Infectious Maggot, Koffin Kanser, Hayagriva, Sarjan Hassan, Lobotomy serta rockers legenda, Bloodshed.