Dengan sempurnanya lafaz ikrar sebagai Ketua Negara, Tuanku Abdul Halim Mu’azam Shah, 84, selamat ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 dalam satu upacara penuh istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu, di Istana Negara, di sini, Rabu.
Sebaik selesai kemuncak Istiadat
Pertabalan itu, tiupan nafiri dan paluan nobat dengan lagu “Perang”
bergema di Balairong Seri, dan para hadirin berdiri dan melaungkan
“Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali, diketuai oleh pemangku Datuk
Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini.
Serentak itu juga, tembakan meriam
sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu “Negaraku” dimainkan oleh Pancaragam
Pusat Tentera Udara Diraja Malaysia, diketuai Left Sabri Abdullah.
Istiadat Pertabalan yang berlangsung
penuh berwarna-warni itu disaksikan kira-kira 900 orang tetamu termasuk
Raja-Raja Melayu dan Permaisuri masing-masing, wakil-wakil Raja-Raja
Melayu, Gabenor-Gabenor, Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri, Perdana
Menteri, Menteri-menteri Kabinet dan isteri masing-masing.
Turut menyaksikan acara gemilang itu
ialah tetamu-tetamu kehormat yang terdiri dari ketua-ketua Diplomat
asing dan ketua-ketua jabatan kerajaan lainnya.
Upacara hari ini mengandungi dua sejarah
penting bagi Seri Paduka kerana ini merupakan kali kedua baginda
ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selain merupakan Yang
di-Pertuan Agong pertama yang ditabalkan di Istana Negara baru di Jalan
Duta.
Tuanku Abdul Halim dilantik sebagai Yang
di-Pertuan Agong Kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini
empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang
di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84.
Menambah keunikan pertabalan kali ini
ialah Perdana Menterinya Datuk Seri Najib Tun Razak, di mana semasa
Tuanku Abdul Halim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima,
perdana menteri pada masa itu adalah ayahanda Najib, Allahyarham Tun
Abdul Razak Hussain, yang merupakan perdana menteri kedua negara.
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan
Agong Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah
disiar secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Istiadat Pertabalan dimulakan sebaik
keberangkatan masuk Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah ke
Balairong Seri dengan diiringi tiupan nafiri dan paluan nobat lagu
“Belayar” oleh Kumpulan Nobat Diraja Kedah.
Keberangkatan masuk pasangan Diraja itu
didahului pemangku Datuk Maharaja Lela Azwan Effendy Zairakithnaini,
serta diapit panglima-panglima yang membawa Cogan Alam dan Cogan Agama.
Cogan Alam dan Cogan Agama, kedua-duanya
tongkat perak yang merupakan sebahagian alat kebesaran Diraja yang
menjadi lambang kebesaran Kerajaan Malaysia.
Tuanku Abdul Halim berpakaian rasmi Yang
di-Pertuan Agong iaitu muskat (seperti kot hitam labuh) yang bersulam
emas serta berseluar panjang bersulam di kaki dengan bertengkolok
“Dendam Tak Sudah”.
Baginda juga memakai Pending Diraja,
diperbuat daripada emas bertatahkan permata delima dengan lambang
Kerajaan Persekutuan tertera di tengah-tengahnya bersama-sama tali
bengkung yang diperbuat daripada kain sakhlat bertekat benang emas
berbunga-bunga.
Di pinggang Seri Paduka tersemat Keris
Pendek Diraja yang hulunya diperbuat daripada mata keris lama dengan
bersarung gading bertatahkan emas.
Tuanku Hajah Haminah pula memakai
perhiasan Raja Permaisuri Agong iaitu Gendik Diraja yang merupakan
pakaian ulu (kepala) dan Kalung Diraja, kedua-duanya diperbuat daripada
emas putih bertatah berlian dan mengenakan persalinan baju panjang
sedondon.
Seri Paduka berdua kemudiannya bersemayam di Singgahsana untuk Istiadat Pertabalan.
Istiadat diteruskan dengan membawa masuk
baki alatan kebesaran yang diketuai oleh pemangku Datuk Maharaja Lela
bersama Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Awang Kechik Abdul Rahman
membawa masuk senaskhah Al-Quran, Keris Panjang Diraja yang juga
merupakan Keris Kerajaan, Surat Pengisytiharan dan Warkah Ikrar dibawa
oleh pegawai-pegawai Istana Negara, diikuti Pegawai Agama Istana Negara
Datuk Abd Aziz Che Yacob dengan diiringi paluan nobat dengan lagu
“Palu”.
Nashkah Al-Quran, yang merupakan lambang
kemuliaan Islam sebagai agama rasmi negara, kemudiannya disembahkan
kepada Seri Paduka oleh pemangku Datuk Paduka Maharaja Lela.
Baginda lalu mencium Al-Quran dan meletakkannya di atas rehal yang terletak di atas meja tengah di antara Seri Paduka berdua.
Pemangku Datuk Maharaja Lela kemudiannya
menyampaikan surat pengisytiharan pertabalan kepada Perdana Menteri
Datuk Seri Najib Tun Razak yang tampil ke hadapan Singgahsana,
mengangkat sembah dan membacakan perisytiharan itu.
Ini diikuti dengan Pemangku Datuk Paduka
Maharaja Lela mempersembahkan Keris Kerajaan yang merupakan alat
kebesaran utama negara kepada Yang di-Pertuan Agong.
Seri Paduka yang menerima keris
berkenaan lalu dihunus, dan dikucup sebelum menyarungkan semula keris
itu sebagai simbolik kebesaran dan kekuasaan kepada Seri Paduka.
Keris itu kemudian diletakkan Seri Paduka di atas meja di hadapan nashkah Al-Quran.
Seri Paduka kemudiannya melafazkan ikrar
sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk menjalankan pemerintahan
seadil-adilnya bagi Malaysia, mengikut undang-undang dan Perlembagaan
Negara serta memelihara dengan sempurna agama Islam dan berdiri teguh di
atas pemerintahan yang adil dan aman.
Sebaik sahaja selesai warkah ikrar
dilafazkan, nafiri ditiup dan lagu nobat “Perang” dimainkan, diikuti
laungan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali oleh pemangku Datuk Paduka
Maharaja Lela diikuti para hadirin di dalam Balairong Seri, serentak
dengan tembakan meriam sebanyak 21 das dilepaskan dan lagu “Negaraku”
dimainkan.
Perdana Menteri kemudiannya sekali lagi
menghadap sebagai mewakili kerajaan dan rakyat mempersembahkan Ucapan
Tahniah dan Taat Setia atas pertabalan baginda, diikuti dengan Tuanku
Abdul Halim menyampaikan Titah Diraja.
Pegawai Agama Istana Negara Datuk Abd Aziz Che Yacob kemudian membacakan doa selamat
![]()
