August 05, 2012

MPP Uruskan Pelajar. Mana Pengurusan UNISEL?

 MPP Uruskan Pelajar. Mana Pengurusan UNISEL?



Apa yang terjadi sebenarnya di Universiti Selangor (UNISEL)? Sebelum ini dengan isu PTPTN dan kini pula isu pelajar tidak dibenarkan mendaftar kolej kediaman.
Kami menerima aduan berkenaan pihak pengurusan kolej kediaman Universiti Selangor (UNISEL), Jana Niaga Sdn Bhd bertindak menutup pejabat bagi sesi pendaftaran kolej kediaman yang sepatutnya berlangsung Jumaat lalu.

Lantaran dari kejadian itu, MyNewsHub telah merujuk laman sosial Facebook Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UNISEL bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Memetik dari salah satu sumber dalam laman sosial itu, penuntut mendakwa yang mereka tidak dapat mendaftar kolej kediaman sekaligus menerima kunci bilik akibat dari penutupan pejabat operasi Jana Niaga Sdn Bhd.

Maka, ramai penuntut UNISEL mula ‘naik angin’ apabila ada diantara mereka yang datang dari jauh tidak dapat mendaftarkan diri sekaligus tidak menerima kunci bilik.
MyNewsHub telah menghubungi Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UNISEL, Mohd Jeffri Abu Hassan bagi mendapatkan keterangan lanjut berkenaan isu tersebut.
Menurut Jeffri, pihak MPP serta penuntut UNISEL tidak menerima sebarang notis mahupun makluman awal berkenaan penangguhan pendaftaran kolej kediaman sehingga mereka hadir ke pejabat operasi Jana Niaga Sdn Bhd pada Jumaat lalu untuk mendaftar.

“Kami tidak menerima sebarang makluman yang lebih awal berkenaan penutupan Jana Niaga Sdn Bhd.
“Maka, menjadi tanggungjawab kami untuk menguruskan kebajikan pelajar terutama mereka yang hadir dari jauh untuk ditempatkan di kolej kediaman sementara di Kota Puteri,” ujar Jeffri sewaktu dihubungi MyNewsHub hari ini.
Ujarnya lagi, pihak MPP juga tidak pasti berkenaan masalah tersebut kerana itu merupakan permasalahan dalaman yang berlaku antara pihak pengurusan UNISEL dan Jana Niaga Sdn Bhd.

“Agak mengecewakan bagi saya apabila ramai antara pelajar yang hadir terutama mereka yang datang dari jauh terpaksa menanggung masalah ini,” tambah Jeffri.
Jana Niaga Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk membangun dan mengoperasikan kediaman pelajar di Kampus Induk UNISEL Bestari Jaya.

Namun, ada beberapa sumber yang mengatakan pihak pengurusan UNISEL tidak membuat bayaran kepada pihak Jana Niaga Sdn Bhd yang menyebabkan syarikat itu bertindak ‘mogok’ menghentikan operasi mereka.
Lantaran dari kejadian itu, pihak MPP akan mengadakan mesyuarat bersama pengurusan UNISEL serta Jana Niaga Sdn Bhd bagi mendapatkan keterangan lanjut berkenaan isu tersebut selaras dengan prinsip MPP untuk menjaga kebajikan pelajar.
Pihak MyNewsHub akan mendapatkan keterangan lanjut berkenaan isu tersebut dari pihak pengurusan UNISEL serta dari Jana Niaga Sdn Bhd dalam masa terdekat.