Jika selama ini wanita bersalin dengan cara berbaring, di Peru
lain pula ceritanya. Mereka mengubah tradisi dan percaya bersalin
berdiri memiliki kelebihan tersendiri.
HAMIL
anak yang ketujuh, Benigna Condori dengan tabah mengatur langkah selama
berjam-jam melalui pergunungan Andes di Peru ke sebuah klinik kesihatan
yang menggabungkan perubatan moden dengan amalan pribumi seperti
bersalin berdiri.
Selepas lima
kelahiran di rumah, Condori, 37, telah memutuskan untuk melahirkan dua
bayi terakhirnya di salah sebuah daripada beberapa ratus klinik baru
yang mula membenarkan wanita bersalin sambil berdiri dan bukan
berbaring.
Harapan program itu
ialah mengurangkan kadar kematian ibu ketika bersalin dengan
menggalakkan wanita miskin, sebahagian besarnya masyarakat pribumi Peru
untuk meletakkan diri mereka di bawah jagaan profesional.
Condori
berkata, beliau tidak mahu mengambil sebarang risiko dan menjejak hutan
pergunungan itu dirasakan lebih selamat berbanding bersalin di rumah.
"Saya di sini kerana saya kenal seorang wanita yang hampir meninggal dunia ketika bersalin.
"Bidan-bidan
yang ada cuba untuk menyelamatkan beliau tetapi mereka tidak boleh
berbuat apa-apa," kata Condori di sebuah rumah kelahiran yang terletak
berhampiran pusat kesihatan di Cuzco, kira-kira 1,102 kilometer dari ibu
negara, Lima.
Peru mempunyai populasi masyarakat pribumi yang besar, kebanyakannya di kawasan-kawasan Andes dan Amazon.

SEORANG ibu dan anaknya.
Kemiskinan yang melanda Amerika Selatan itu memberikan kesan tidak seimbang kepada komuniti-komuniti pribumi ini.
Tembikar-tembikar kuno dari pergunungan Andes menggambarkan wanita bersalin dalam kedudukan duduk atau ketika berdiri.
Kementerian
Kesihatan Peru berkata, posisi kelahiran menegak boleh menjadi lebih
baik kepada wanita dengan mengurangkan tekanan di uterus dan saluran
darah yang besar yang mampu memberi kesan kepada jumlah oksigen yang
pergi ke bayi.
Kedudukan duduk
atau berdiri semasa bersalin juga mengurangkan tempoh proses kelahiran
dan bersalin, menurut kementerian kesihatan, dan membenarkan si ibu
melihat proses itu lebih baik berbanding ketika berbaring.
"Sains
Barat tidak sedar mengenai keutamaan dan keperluan wanita, terutamanya
yang tinggal di kawasan luar bandar yang melihat kelahiran sebagai satu
cara semula jadi dan tidak berfikir perubahan kepada posisi bersalin
menegak perlu dilakukan," kata kementerian itu dalam sebuah buku yang
menjelaskan manfaat bersalin ketika berdiri.

PUSAT-PUSAT bersalin membenarkan ibu-ibu bersalin pada kedudukan yang lebih natural.
Amalan
wanita bersalin ketika berbaring dilakukan untuk kemudahan para doktor,
bukan ibu bersalin, kata penyokong kaedah kelahiran Andes.
Di
Peru, sekurang-kurangnya 185 wanita meninggal dunia dalam setiap
100,000 kelahiran, kebanyakannya ketika bersalin di rumah mereka.
"Kadar
kematian ibu di benua itu lebih rendah berbanding di sesetengah negara
Afrika tetapi tidak bermaksud ia boleh diterima pakai," kata Edgar
Ramirez, seorang wakil
Tabung Kependudukan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA)
di Peru.
Menjelang tahun 2015,
kerajaan berhasrat untuk mengurangkan bilangan kematian wanita
disebabkan oleh kehamilan kepada 66 peratus dalam setiap 100,000
kelahiran, sebahagiannya dengan menjadikan perkhidmatan kesihatan boleh
dicapai dan bertolak-ansur dengan keperluan.
Peru
telah membuka 390 rumah kelahiran sejak sedekad lalu di mana wanita
daripada kawasan perkampungan boleh menetap secara percuma sementara
menunggu untuk bersalin.
Tetapi
bagi membolehkan pusat-pusat itu boleh melaksanakan tugas mereka,
wanita-wanita tersebut perlu menggunakan kemudahan itu - mendapatkan
mereka yang hamil untuk meninggalkan rumah untuk melahirkan anak adalah
satu cabaran besar.
"Wanita Andes secara tradisional melahirkan anak mereka di rumah sambil dibantu oleh nenek, pasangan atau pun bidan.
"Mereka telah biasa dengan keadaan itu dan ini menjadikannya sukar untuk diubah," kata Ramirez.
Untuk menggalakkan wanita mengambil langkah untuk berubah, pusat-pusat kesihatan sedang membuat perubahan.
Di
rumah-rumah kelahiran yang berhubung dengan pusat kesihatan, wanita
boleh membawa ahli keluarga mahu pun haiwan sementara menunggu.
Sesetengah
klinik menyajikan teh yang diperbuat daripada herba tradisional yang
disediakan untuk membantu mencetuskan kelahiran.
Pusat-pusat
tersebut membenarkan wanita mencangkung, duduk atau memakai skirt
panjang ketika proses bersalin - satu lagi amalan biasa masyarakat Andes
- dan bukan memakai gaun hospital.
Banyak klinik dicat dengan warna-warna lembut untuk membuatkan wanita itu berada lebih selesa dan seperti di rumah.
Maruja Caira, 35, melahirkan anaknya yang ketiga - seorang bayi lelaki - di pusat kesihatan berhampiran Cuzco.
Semasa
bersalin, Caira berada dalam kedudukan separa berdiri. Dia berkata,
pengalaman itu jauh lebih mudah berbanding ketika berbaring.
"Melahirkan anak saya di sini memberikan saya ketenangan," kata beliau sambil mendakap bayi lelakinya yang sihat. -
![]()



