March 30, 2012

Al-Fatihah: Raja Ashman Shah Raja Sulung Perak Mangkat

 
Raja Kecil Sulung Perak, Raja Ashman Shah Sultan Azlan Muhibbudin Shah mangkat pagi tadi di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Berita kemangkatan Raja Ashman juga menarik perhatian pengikut-pengikut tariqat Naqshabandi seluruh dunia selepas blog peribadi pemimpin tariqat tersebut, Sheikh Hashim Kabbani antara yang paling awal menyiarkan berita tersebut.

Menurut kenyataan di dalam blog tersebut, Shaikh Hashim Kabbani merakamkan takziah atas pemergian Raja Ashman, dan meminta semua pengikut tariqat tersebut mengadakan bacaan tahlil, yassin dan solat jenazah ghaib.
“Lidah tidak dapat mengungkap simpati dan kasih sayang kami kepada Raja Asman, ia merupakan satu kehilangan besar kepada Maulana Sheikh Nazim Haqqani dan semua murid,” kata kenyataan tersebut.

Jelas kenyataan itu lagi, Raja Ashman mangkat sejurus majlis zikir malam tadi.
Raja Ashman dikenali sebagai penaung tariqat Naqshabandi yang amat dihormati di seluruh dunia. Beliau mengadakan majlis zikir di kediaman Bukit Damansara setiap malam Jumaat.
“Kami memohon kepada Allah SWT memberikan ketabahan kepada keluarganya, isteri dan anak-anak,” kata kenyataan tersebut.